Pages

Wednesday, January 3, 2018

[JERANTUT] KONTRAKTOR DIBERI AMARAN PERTAMA


Kontraktor diberi amaran pertama


Jabatan Kerja Raya (JKR) menggesa agar kerja baik pulih bumbung di salah sebuah bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerantut disiapkan dengan segera.

Bumbung bangunan dua tingkat yang memuatkan 13 kelas itu telah rosak dan mula mereput justeru tidak selamat digunakan sejak hampir setahun lalu.

Bagaimanapun, kerja-kerja baik pulih yang sepatutnya disiapkan sebelum bermulanya persekolahan gagal dilakukan pihak kontraktor yang dipertanggungjawabkan.

Menurut Jurutera Daerah JKR Jerantut, Mohd Sably Abdul Latif berkata, meskipun mengikut kontrak tempoh yang diberikan sehingga Mac nanti, namun pihak kontraktor terbabit seharusnya menyiapkan kerja-kerja baik pulih itu sebelum mula sekolah.

“Meskipun kontrak bersama kontraktor yang dilantik masih belum tamat, kita mengambil kira kepentingan pelajar untuk menduduki pengajian dengan selesa justeru ia sepatutnya disiapkan sebelum kelas bermula.

“Bagaimanapun pihak kami telah memberikan amaran pertama kepada kontraktor yang dilantik. Justeru berharap kerja-kerja baik pulih dapat disegerakan,” katanya.

Hal itu mendapat perhatian Ahli Parlimen, Dato' Ahmad Nazlan Idris yang hadir bersama Pegawai Pendidikan Daerah, Ali Afandi Abdul Majid dan Pengetua SMK Jerantut, Abdul Rafid Fateh Mohamed bagi meninjau keadaan bangunan yang sepatutnya memuatkan 244 pelajar tingkatan satu tahun ini.

Ahmad Nazlan berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah serta pihak JKR kerana telah berusaha memastikan bangunan itu dapat dibaik pulih semula untuk keselesaan pelajar.

“Tapi saya amat berharap kerja baik pulih itu disegerakan bagi beri keselesaan buat 244 pelajar yang tidak ada kelas dan terpaksa menumpang di makmal, dewan dan sebagainya sementara tunggu kelas mereka siap” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor