Pages

Friday, January 5, 2018

BUIH PUTIH 'KUNJUNGI' PANTAI TELUK CHEMPEDAK




Pantai Teluk Cempedak sunyi


Pengunjung Pantai Teluk Cempedak di sini semalam, dikejutkan dengan kehadiran buih putih di persisiran pantai yang berlaku selama sejam, bermula pukul 12 tengah hari.

Zarul Ikhwan Sidek, 29, berkata beliau pada mulanya melihat sebahagian kawasan bersimen di pantai itu mengandungi buih, namun tidak begitu mengendahkannya kerana beranggapan ada budak bermain buih berhampiran.

"Bagaimanapun, saya merasakan buih semakin banyak. Semakin hampir ke pantai, baru saya perasan buih itu sebenarnya dibawa angin dan kawasan yang terlibat adalah di sepanjang pantai," katanya kepada Bernama semasa ditemui di pantai itu, semalam.

Zarul Ikhwan berkata beliau dan beberapa rakan turut merakam gambar buih tersebut.

Sementara itu, peniaga Awi Ahmad, 60, berkata ini merupakan kali pertama beliau melihat kejadian tersebut sejak membuka kedai cenderamata di pantai berkenaan dua tahun lepas.

Namun, beliau pernah mendengar mengenai kejadian serupa berlaku di Pantai Balok dan Pantai Batu Hitam, yang terletak berhampiran Pantai Teluk Cempedak.

Katanya, semasa kejadian, beliau baru hendak memulakan perniagaan dan menyedari keadaan agak kecoh berbanding kebiasaan, memandangkan pantai itu tidak begitu dikunjungi pada waktu tengah hari.

"Saya lihat sekeliling dan ada yang menunjuk ke arah pantai...saya lihat ada yang memegang dan mencium buih itu, tapi saya tidak berani (berbuat demikian) kerana bimbang jika ia mengandungi bahan kimia," katanya.

Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Liew, 50, berkata beliau tidak begitu mengambil berat mengenai buih itu kerana berpandangan ia mungkin berlaku disebabkan sisa yang ditinggalkan mereka yang bermain belon sabun di situ.

Katanya, buih itu kelihatan begitu serupa dengan buih yang dihasilkan semasa mencuci pakaian dan mempunyai sedikit bau wangi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang Rosli Zul semasa dihubungi berkata kejadian buih di pantai sekitar Kuantan pernah berlaku sebelum ini, dengan kali terakhir dilaporkan di Pantai Balok pada awal Februari 2017.

Beliau berkata untuk kejadian hari ini, masih terlalu awal untuk menentukan punca kejadian, kerana pegawainya baru sahaja diarahkan untuk mengambil sampel dan mendapatkan kenyataan mereka yang menyaksikan kejadian itu.

"Bagaimanapun, jika berdasarkan pengalaman lalu di Pantai Balok, ia dipercayai berpunca apabila ada individu membuang sisa basuhan yang mempunyai busa sabun dalam kuantiti banyak terus ke laut.

"Kita percaya ia dilakukan oleh mereka yang terlibat dalam aktiviti pembungkusan cecair pencuci kerana sampel buih yang diperoleh berbau wangi. Kejadian ini juga fenomena sementara sahaja," katanya.

Rosli menambah pihaknya juga tidak menerima aduan mengenai masalah kesihatan atau gatal daripada mereka yang memegang buih sabun di Pantai Balok pada masa itu, menyebabkan mereka berpendapat buih itu tidak mendatangkan bahaya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor