Pages

Thursday, January 4, 2018

AIR TANGAN UMNO PAYA BESAR UNTUK MANGSA BANJIR





Air tangan Umno Paya Besar untuk mangsa banjir


Niat mahu menceriakan mangsa banjir menjadikan kepimpinan Umno Bahagian Paya Besar mengambil pendekatan memasak untuk mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan di sini.

Mereka mula berkampung di sekolah itu seawal pukul 7 pagi dengan membawa bersama tong gas, dapur dan peralatan memasak, juga barangan basah untuk menyediakan kari daging, ayam goreng dan sayur kobis.

Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Dato' Sri Abdul Manan Ismail berkata, program itu merupakan kali pertama dianjurkan dan beliau sangat gembira apabila semua barisan kepimpinan parti bahagian meluangkan masa untuk menyertainya.

"Perancangan hanya dilakukan semalam dan saya tidak sangka hampir 90 orang hadir pada hari ini. Program ini satu bentuk perkhidmatan yang boleh kita berikan kepada rakyat khususnya mereka yang sedang diuji dengan masalah banjir.

"Selain itu, kita juga dapat mengenali rakyat dengan lebih dekat dan mendengar sendiri masalah mereka. Memang pusat pemindahan ada menyediakan makanan, tapi sekurang-kurangnya niat kita hendak sediakan masakan dari hati," katanya.

Abdul Manan berkata, beliau dimaklumkan lebih 400 mangsa banjir dari kampung sekitar Pandan di sini, berada di pusat pemindahan itu dan mereka memperuntukkan hampir RM5,000 untuk program berkenaan.

Sementara itu, Abdul Hadi Abu, 18, yang ditemui semasa sibuk membersihkan ayam berkata beliau mengambil cuti untuk turut sama menyumbang tenaga dan mengajak lima kawannya mengikuti program itu.

"Sudah seperti menyertai rewang di majlis kenduri kerana semuanya begitu bersemangat. Masing-masing juga tahu apa yang perlu dilakukan seperti kami, tidak datang kosong sebaliknya membawa pisau," katanya.

Sementara itu, Radin Munira Radin Imam Razali, 49, pula berkata, beliau terus memberikan persetujuan untuk menyertai program itu kerana melihatnya sebagai peluang untuk sama-sama membantu mereka yang ditimpa musibah.

"Hendak dibantu dari segi wang ringgit, tidak begitu banyak yang boleh dilakukan...jadi terus ambil peluang untuk sumbang tenaga bila ada peluang," katanya.

Bagi Romimah Rani, 63, yang secara tidak langsung 'dilantik' sebagai pembantu tukang masak pada program itu berkata beliau bukan sahaja datang untuk memasak juadah tengah hari, tetapi turut memasak bihun goreng sebagai sarapan kepada mangsa banjir.

Katanya, beliau sedia membantu untuk memasak 'di mana tenaganya diperlukan bagi membantu golongan yang memerlukan'.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor