Pages

Tuesday, December 19, 2017

[RAUB] DEMI MUSANG KING


Demi Musang King


Durian Musang King dilihat semakin popular sehingga harganya mencecah RM140 ke RM300 sekilogram berikutan permintaan tinggi terhadap raja buah itu terutama dalam kalangan pelancong China.

Keadaan itu juga menyebabkan kebun raja buah seluas enam hektar dan mempunyai lebih 400 pokok yang dimiliki Ee Chin Loon, 52, turut mendapat tempias apabila dikunjungi pelanggan dari republik tersebut.

Menurutnya, kira-kira 3,000 pelancong China mengunjungi Raub dan Bentong pada setiap hari semata-mata untuk datang merasai sendiri durian Musang King di tempat kelahirannya.

“Tidak sangka selepas kerajaan memperkenalkan Musang King di China, penduduk republik itu berpusu-pusu datang ke Raub yang menjadi pengeluar utama Musang King.

“Durian Musang King gred A berjaya ditempah dan dieksport ke China bagi memenuhi permintaan di sana, dan saya akui kebanyakan rakyat Malaysia kini hanya dapat menikmati Musang King gred B atau C saja berikutan buah itu kini bagaikan pisang goreng panas,” katanya

Beliau berkata ketika mengunjungi dusun durian Musang King bersama Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) negeri, Dato' Idros Yahya di Raub, di sini, semalam.

Chin Loon berkata, dia pernah terpaksa menjual Musang King dengan harga RM1 sekilogram kerana raja buah tersebut belum popular namun harga buah itu kini semakin mahal dan harganya tidak pernah turun.

Menurutnya, akibat permintaan tinggi dan kedatangan pelancong ke Raub dan Bentong semata-mata mahu menikmati raja buah itu menyebabkan pihaknya terpaksa memikirkan alternatif lain untuk menjadikan buah tersebut boleh didapati ketika ia tidak bermusim.

“Permintaan tinggi itu memerlukan semua pengusaha durian di dua daerah ini bekerjasama bagi meningkatkan eksport raja buah itu ke China.

“Kebiasaannya di Semenanjung Malaysia musim durian antara Jun hingga Ogos namun berikutan Musang King kini menjadi produk pelancongan negara menyebabkan kami perlu memikirkan alternatif menjadikan ia boleh dinikmati setiap masa.

“Kami akan menyimpan durian ini dalam peti sejuk beku mencecah suhu negatif 80 darjah Celsius bagi memastikan kesegaran Musang King yang tahan dua hingga tiga tahun,” katanya

Sementara itu, Idros Yahya berkata, hasil kerjasama antara pengusaha durian dengan MOTAC berjaya menghasilkan raja buah boleh dinikmati setiap masa terutama yang datang ke Raub dan Bentong.

“Istilah musim durian mungkin tidak relevan kerana setiap pengusaha kini mencari jalan memastikan kesegaran Musang King boleh dimakan setiap masa dan bukan musim tertentu saja,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor