Pages

Tuesday, December 19, 2017

[KUANTAN] MUAT NAIK STATUS SEDIH JADI PETUNJUK


Status sedih jadi petunjuk


Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian kecuali ada memuat naik status sedih di WhatsApp sebelum kejadian.

Norhafizah Abdul Hamid, 24, memberitahu arwah abangnya, Mohd Hanif, 25, memuat naik status “cepat atau lambat akan tiba waktunya kita akan dilamar malaikat maut dan dinikahkan dengan kematian.. dan bercerai dengan dunia yang selama ini kita kejar” kira-kira jam 7.30 malam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.45 malam kelmarin, mangsa maut di lokasi kejadian iaitu di Simpang Empat Jalan Semambu selepas dilanggar sebuah kereta yang bertindak melarikan diri selepas itu.

Adik bongsu mangsa memberitahu, pada mulanya dia tidak percaya dengan kejadian yang menimpa abangnya itu namun terpaksa akur selepas terlihat gambar kejadian tersebut tular di laman Facebook.


Status sedih yang dimuat naik arwah melalui WhatsApp beberapa jam sebelum dia maut


“Terkejut, sedih tetapi reda dengan kehilangan abang. Dia seorang yang baik dan mudah didekati kerana sikap ramahnya,” katanya yang ditemui selepas majlis pengebumian arwah di Tanah Perkuburan Islam Perkampungan Kempadang Perdana di sini, semalam.

Sementara itu, rakan rapat mangsa, Sarjan Ramzan Mohamad, 43, yang juga pegawai bertugas memberitahu, mangsa keluar mengambil rakan setugas kira-kira jam 9.20 malam.

“Saya sangat sedih sebab memang rapat dengan arwah yang seorang rakan baik dan dikenali ramai dengan sikap ramahnya dengan semua orang. Ia satu kehilangan yang amat dirasai,” katanya mangsa telah bertugas sebagai anggota sukarelawan lebih dua tahun lalu.

Selain keluarga dan sanak-saudara mangsa, majlis pengebumian itu juga turut dihadiri anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sebelum itu mangsa yang masih bujang itu dimandikan di Masjid Tareq Bin Ziyad, Kempadang Perdana, di sini kira-kira jam 9.30 pagi dan selamat dikebumikan kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Anak kedua daripada tiga beradik itu bertugas di Ibu Pejabat APM Pahang, Jalan Beserah di sini dan menunggang motosikal seorang diri ketika kejadian dalam perjalanan mengambil rakan sekerjanya di Terminal Sentral Kuantan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, pihaknya kini sedang mengesan kereta Proton Saga berwarna perak dipercayai terbabit dalam kemalangan itu.

“Berdasarkan keterangan saksi kejadian kereta itu dipercayai terbabit melanggar motosikal dinaiki mangsa sebelum melarikan diri.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada pegawai penyiasat bertugas Inspektor Kamarul Azizee Kamarazi di talian 013-9711793,” katanya dalam satu kenyataan media.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor