Walaupun pernah menjadi ketua kongsi gelap, namun hukuman yang sedang dilalui kini memberikan hidayah yang tidak terhingga buat penghuni Penjara Penor ini.
Man (bukan nama sebenar), 51, mendapat hidayah di sebalik tirai besi selepas bermimpi didatangi lelaki berpakaian jubah putih yang melaungkan azan ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Kini, sudah memasuki tahun keenam dia memeluk Islam dan mengakui semakin tenang menjalani kehidupan walaupun di penjara.
Man berkata, kehidupan lampaunya sebagai seorang ketua kongsi gelap di ibu kota menyebabkan dia jauh terpesong dan terlibat dengan pelbagai kegiatan jenayah seperti peras ugut dan merompak.
“Selepas mimpi itu, hati saya begitu kuat untuk memeluk Islam. Selang beberapa hari, saya melafazkan kalimah syahadah dengan bantuan pihak Penjara Kajang.
“Saya bersyukur perjalanan sebagai umat Islam begitu lancar dan mudah sekali apabila mendapat tunjuk ajar menerusi program keagamaan sambil dibantu rakan,” katanya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Penjara Penor, kelmarin.
Man berkata, sejak memeluk Islam, dia mempelajari cara solat dan puasa selain belajar membaca al-Quran.
Katanya, dengan bantuan pihak penjara, dia berjaya khatam al-Quran.
Man berkata, minat melakukan kajian terhadap agama turut menjadi pendorong kepadanya memilih Islam yang lengkap dalam semua perkara, kelebihan itu tidak mungkin terdapat pada agama lain.
“Saya dapati hanya Islam sahaja agama yang benar dan sesuai untuk saya tidak ada agama lain,” katanya.
Beliau berkata, hukuman penjara sembilan tahun yang dikenakan kerana kesalahan merompak bersenjata kini berbaki lima tahun.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor