“Sejak dia lahir, wad hospital tempat tinggalnya sehingga sekarang", demikian ujar Nur Ashima Ahmad, 42, ibu kepada bayi Nur Qaseh Qasrina Abdul Razak, 3 bulan yang kini berada di hospital akibat mengalami masalah saluran darah ke jantungnya tidak normal.
Nur Qaseh Qasrina yang merupakan kembar kepada Nur Aisyah Humaira, dilahirkan secara pembedahan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Akibat komplikasi tersebut, Nur Qaseh Qasrina dipindahkan ke Hospital Serdang, Selangor lapan hari lalu untuk menjalani pembedahan membesarkan saluran darah ke jantung dan kini berada dalam pemantauan pakar di wad zon kritikal hospital berkenaan.
“Doktor mahu melihat perkembangan Nur Qaseh dengan rapi sebelum rawatan selanjutnya dapat dilakukan memandangkan dia masih kecil,” katanya kepada Sinar Harian.
Nor Ashima berkata, dia yang sudah berada di hospital lebih seminggu lalu terpaksa meninggalkan Nur Aisyah kepada ibunya di Felda Chini 1.
Katanya, suaminya, Abd Razak Awang Kechik, 48, juga berada di Felda Chini 1 untuk menjaga tiga lagi anaknya.
“Buat masa ini saya perlu berada di sini bersama Nur Qaseh.
“Keluarga ada datang melawat untuk melihat Nur Qaseh,” katanya.
Mengulas mengenai bantuan kewangan yang diperlukan, Nor Ashima berkata, dia belum dimaklumkan mengenai kos pembedahan yang perlu dibayar selain bil hospital.
Katanya, suaminya yang bekerja sendiri manakala dia pula hanya seorang suri rumah dan bimbang sekiranya ia melibatkan kos yang tinggi.
“Saya risau memikirkan kos pembedahan dan berharap ada pihak yang sudi membantu,” katanya.
Sebarang bantuan boleh disalurkan ke akaun Nor Ashima (Maybank 156094277583).
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor