Air mata sudah menjadi teman sejati tetapi tidak pernah diperlihatkan kepada sesiapapun kecuali kepada ALLAH tempat dirinya mengadu.
Kesempitan hidup mula dirasai Nor Faezah Musa, 55, yang menetap di Kampung Batu 3, Karak Setia di sini, apabila dia menghidapi jantung berlubang sejak 25 tahun lalu.
Lebih menyedihkan apabila dirinya mengalami kemalangan lima tahun sehingga menyebabkan dirinya strok dan tidak lagi mampu bekerja menanggung perbelanjaan harian keluarganya.
Nor Faezah berkata, selepas dia disahkan jantung berlubang, dia masih mampu bekerja walaupun sering berasa tidak sihat ketika bekerja kerana injap jantungnya lemah.
“Saya masih mampu kerja lepas jalani pembedahan. Tapi tak mampu buat kerja berat sebab sakit dada. Tapi, lima tahun lepas saya terlibat kemalangan, sejak tu saya tak mampu lagi nak kerja sebab strok dan memerlukan saya bertongkat untuk berjalan.
“Setiap hari saya akan termenung dan menangis fikirkan saya dah tak mampu kerja sara keluarga. Kini anak kedua saya, Kamil Ikhwan umur 18 tahun kerja di sebuah kolam pancing dan adik bongsunya, Amira Nur Fatihah umur 16 tahun yang masih sekolah turut kerja di kedai makan.
“Saya hanya mampu bersabar. Kalau boleh saya nak bekerja tapi tak ada kudrat. Apa lagi yang boleh saya buat untuk anak-anak? Saya buntu fikirkan nasib diri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Nor Faezah berkata, dia sedih kerana tidak mampu menghantar anak keduanya, Kamil Ikhwan melanjutkan pelajaran ke universiti.
"Dia dah dapat tawaran sambung belajar ke universiti, tapi saya tak mampu nak hantar dia ke sana. Saya tak ada apa-apa," katanya sebak.
Bergantung hidup pada pendapatan anak-anak
Nor Faezah berkata, pendapatan keluarganya kini bergantung pada anak-anaknya dan ia tidak mencukupi.
"Alhamdulillah dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Walaupun tak cukup, saya tetap bersyukur.
"Kalau diikutkan saya perlu minum susu Essential Omega 3 untuk jantung saya, tapi lama dah tak minum sebab tak ada duit. Saya hanya bergantung ubat yang saya ambil di Bentong saja.
“Kalau nak cerita tentang pendapatan, kami ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Selama ini, kami tak pernah dapat mana-mana bantuan.
"Sebelum ni ada juga dapat bantuan daripada penduduk kampung di sini dan bantuan bulanan JKM RM300 setiap bulan tapi ia masih tak cukup sebab semua anak masih bersekolah.
"Tapi sekarang, bantuan JKM RM100 sebulan sebab hanya tinggal anak bongsu saja yang masih bersekolah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor