Yayasan Pahang telah membantu seramai 1.35 juta pelajar anak negeri itu di dalam pendidikan sejak ditubuhkan 34 tahun lalu dengan perbelanjaan keseluruhan melebihi RM1.1 bilion.
Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri Pahang, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, jumlah penerima biasiswa dan sagu hati itu hampir sama dengan jumlah penduduk negeri Pahang ketika ini seramai 1.5 juta orang.
Menurutnya, kebanyakan penerima bantuan ini adalah pelajar sekolah menengah dan rendah bermula murid tahun empat hingga enam dan pelajar tingkatan satu hingga lima.
“Peruntukan yang diberikan bagi membantu ibu bapa berpendapatan sederhana menampung perbelanjaan pendidikan anak mereka terutama pada waktu kritikal apabila anak memasuki sekolah menengah.
“Yayasan Pahang memberikan bantuan sebanyak RM600 setahun bagi pelajar sekolah menengah dan RM300 setahun bagi murid sekolah rendah yang terpilih menerima bantuan biasiswa tersebut.
“Kita hanya membantu mereka, tanggungjawab menampung belanja persekolahan anak tetap pada ibu bapa, Yayasan Pahang hanya membantu serba sedikit bagi menampung kos pendidikan mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Bantuan Anak Pahang 2018 anjuran Yayasan Pahang, Umno Temerloh dan Pejabat Pendidikan Daerah Temerloh di Dewan Tun Razak di sini, semalam.
Mohd Sharkar yang juga Adun Lanchang berkata, selain biasiswa Yayasan Pahang juga menyediakan pinjaman pendidikan kepada pemohon yang layak untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata, selain itu Yayasan Pahang memperuntukkan sejumlah RM7 juta setahun bagi bantuan pelajar memasuki universiti dengan setiap individu menerima RM500 dengan sekali pemberian.
Menurutnya, dengan pemberian yang dilakukan Yayasan Pahang itu membuktikan kerajaan negeri amat prihatin untuk membantu anak negeri berjaya dalam pendidikan.
Mohd Sharkar berkata, peruntukkan sebanyak RM200 seorang diagihkan kepada seramai 1,600 penerima dalam Parlimen Temerloh merangkumi tiga Dun semalam.
“Temerloh menjadi daerah paling ramai penerima bantuan merangkumi seramai 761 murid di Dun Lanchang, 470 Kuala Semantan dan seramai 346 penerima Dun Mentakab.
Bantuan diberikan bagi meringankan beban khususnya bagi sesi persekolahan 2018 yang akan dibuka tidak lama lagi.
“Sebelum ini bantuan persekolahan turut diberikan kepada pelajar terpilih menerusi program anjuran Biro Keahlian Daftar Pemilih (KDP) Umno Malaysia dan Kelab Putera 1Malaysia. Bantuan seperti ini akan terus diagihkan kepada mereka yang layak bagi menjamin modal insan berkualiti dilahirkan dari negeri Pahang,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor