Pages

Sunday, November 26, 2017

[PEKAN] HANYA ENAM MAAHAD TAHFIZ LULUS PELAN BANGUNAN


Abdul Wahab Mat Yasin


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang mengenal pasti hanya enam daripada 67 pusat maahad tahfiz yang berdaftar di negeri ini mendapat kelulusan pelan bangunan.

Pengarahnya Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, setiap Maahad Tahfiz perlu menyediakan pelan bangunan yang diluluskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, reka bentuk bangunan dan sistem pendawaian elektrik yang tidak mengikut syarat serta peraturan ditetapkan menjadi punca utama berlakunya kejadian kebakaran hingga mengundang kepada kematian.

“Pemeriksaan dilakukan di kebanyakan pusat maahad tahfiz mendapati banyak terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki dalam memastikan kejadian tidak diingini tidak terus berlaku.

“Pihak berkuasa kerajaan tidak pernah berniat untuk menghalang pusat maahad tahfiz daripada terus beroperasi, keutamaan kini membabitkan tahap keselamatan bangunan dan sistem pendawaian elektrik,” katanya. 

Abdul Wahab berkata, seminar keselamatan akan diadakan bertujuan memberi pendedahan terhadap aspek keselamatan yang perlu diberi perhatian oleh pengusaha pusat tahfiz bagi memastikan kejadian kebakaran tidak berlaku.

Beliau berkata, skuad bomba yang ada di setiap pusat maahad tahfiz juga diharap dapat membantu sekiranya berlaku kebakaran sebelum anggota bomba dan penyelamat tiba kerana terdapat pusat terbabit terletak jauh dari balai bomba dan penyelamat.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor