Pages

Sunday, November 26, 2017

[KUANTAN] PELAJAR LUMPUH DAPAT BANTUAN


Pelajar lumpuh dapat bantuan


Perkembangan kesihatan positif telah ditunjukkan penuntut Tahun Satu kursus Automotif Kolej Komuniti Pekan yang terlibat dalam kemalangan motosikal, 20 Ogos lalu, berdekatan Tol Gambang, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), di sini hingga menyebabkannya lumpuh dan hilang tangan kanan telah memberikan sedikit kelegaan buat keluarganya.

Julia Mat Rejab, 48, berkata, anaknya Muhammad Nur Hakim Zubbir, 19, dilihat secara perlahan-lahan sudah cuba menerima keadaan fizikalnya.

Jelasnya, berkat doa dan semangat diberikan keluarga serta rakan-rakannya membuatkan keadaan kesihatan dan emosinya semakin berubah berbanding sebelum ini dia sentiasa berada dalam keadaan murung.

“Keadaannya sudah banyak berbeza selepas bertarung nyawa selama 25 hari di dalam Unit Rawatan Rapi, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, dan hari ini (semalam) genap 95 hari kejadian kemalangan yang telah mengubah kehidupannya.

“Nur Hakim semakin pulih walaupun tak boleh bergerak, sekurang dia sudah boleh makan berbanding sebelumnya... sedih melihat keadaannya namun atas kekuatan dan semangat yang telah diberikan oleh keluarga dan kawan-kawan, saya percaya dia boleh sembuh walaupun tak sepenuhnya.

“Kini, dia masih dalam rawatan dan mempunyai banyak lagi temu janji dengan pihak hospital sehingga Mac tahun depan dan menurut doktor di samping rawatan diberikan tahap kesihatan juga bergantung pada kekuatan dalamannya,” katanya kepada media sempena Program Ziarah Kasih MB, di kediaman ibunya di Felda Bukit Goh, di sini, semalam.

Adun Lepar, Dato' Mohd Shohaimi Jusoh dan Adun Sungai Lembing, Dato' Md Sohaimi Mohamed Shah hadir mewakili Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob dan menyampaikan sumbangan kedua berupa wang tunai bagi mengurangkan beban dalam tempoh mendapatkan rawatan susulan.

Terdahulu, akibat kemalangan itu dipercayai tangan kanan Nur Hakim parah dan tidak boleh diselamatkan kerana membabitkan saluran darah besar menyebabkan pendarahan yang banyak hingga keputusan untuk memotong tangannya terpaksa dibuat.

Malahan dia juga turut mengalami kecederaan tulang belakang serta tulang tengkuk menyebabkan gagal bergerak sepenuhnya.

Dalam pada itu, menurut Julia yang tinggal di Taman Mahkota Jaya di sini berkata, anaknya memerlukan kerusi roda khas dan tangan palsu yang sesuai untuk digunakannya pada masa akan datang.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank CIMB 7036542137 (Julia Mat Rejab) atau hubungi 019-9779062.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor