Pages

Tuesday, March 7, 2017

'PAK CIK TAK BOLEH DUDUK DIAM'


‘Pak cik tak boleh duduk diam’


Kuala Pilah - Siapa sangka seorang bekas tentera yang dilihat masih tegap dan cergas, rupanya sudah menjangkau usia 96 tahun.

Tinggal di Kampung Bayai Lama, Batu Kikir, Abdul Wahab Udang masih mampu berjalan, tiada masalah pertuturan dan boleh membaca tanpa menggunakan kaca mata, malah tidak memiliki sebarang penyakit.

Itulah keistimewaan warga emas itu yang telah berkhidmat selama tujuh tahun dalam bidang ketenteraan bermula 21 November 1947 sehingga 1954.

Ditanya rahsia memiliki badan cergas, Abdul Wahab berkata, dia setiap hari akan turun ke tanah untuk bercucuk tanam bagi mengeluarkan peluh.

“Disiplin semasa berkhidmat dalam tentera masih terbawa-bawa. Pak cik tak boleh duduk diam, mesti ada benda yang nak buat.

“Pak cik akan bercucuk tanam atau mencangkul. Biar keluarkan peluh kerana boleh sihatkan badan dan alhamdulillah, pak cik dikurniakan

kesihatan dan boleh beribadah,” katanya turut menerima skim bantuan sara hidup daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran Malaysia.

Usianya yang hampir menjangkau satu kurun itu menjadikan Abdul Wahab penduduk tertua di kampung berkenaan.

Berkongsi pengalamannya sebagai anggota tentera, ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Juasseh itu berkata, meskipun tempoh perkhidmatannya singkat, dia berpeluang menyertai operasi menentang komunis di Bentong, Pahang dan Grik, Perak.

"Rasanya macam baru semalam pak cik tinggalkan tentera. Memang pak cik akan ingat sampai bila-bila sebab itulah memori terindah pak cik masa jadi tentera.

“Kerana dalam tentera kita perlu sentiasa bersedia hadapi ancaman musuh. Tak kira kita diserang secara tiba-tiba ataupun kita serang mereka. Semuanya kena bersedia 24 jam.

“Dalam pertempuran itu, pak cik berjaya tembak komunis dan pastinya itu pengalaman paling berharga,” katanya.

Abdul Wahab yang dikurniakan tujuh anak, 16 cucu dan 18 cicit tinggal bersama anaknya, Jamilah, 60, setelah isterinya meninggal dunia pada 2016.

Terdahulu Abdul Wahab menerima kunjungan PVATM Juasseh di kediamannya bagi bertanya khabar dan menghulurkan sumbangan.

Hadir sama, Pengerusi PVATM Juasseh, Arif Kassim.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor