Pages

Monday, March 6, 2017

[KUANTAN] DAPAT CABUTAN BERTUAH KALAU KE PUSAT SUMBER


Dapat cabutan bertuah kalau ke pusat sumber


Cabutan bertuah antara habuan yang diberikan kepada murid yang kerap mengunjungi pusat sumber sekolah.

Itu kaedah yang digunakan oleh Sekolah kebangsaan (SK) Sungai Isap Murni di sini, dalam usaha membudayakan amalan membaca dalam kalangan warga sekolah tersebut.

Guru Penyelaras Program Nadi Ilmu Amalan Pembaca (Nilam) sekolah tersebut, Nur Hasyyati Arifin berkata, itu inisiatif yang digunakan pihak sekolah bagi memastikan murid mengunjungi pusat sumber dan membaca.

"Kita hendak mereka semua berlumba- lumba untuk membaca dan disebabkan usaha yang ditunjukkan itu, sekolah akan memberikan hadiah kepada mereka.

"Menerusi cara itu kita lihat peningkatan murid lebih ramai ke pusat sumber sekolah berbanding pada tahun lalu," katanya ketika ditemui selepas berakhirnya Majlis Pelancaran Nilam di Dewan Ibnu Bhatuta di sekolah itu di sini, hari ini.

Majlis pelancaran program itu telah disempurnakan Pegawai Perpustakaan negeri, Mohd Aseri Abd Malik.

Nur Hasyyati memaklumkan matlamat utama program ini ialah untuk membentuk murid menjadi seorang pembaca yang berkualiti.

Katanya,program ini menggalakkan pembacaan secara berterusan sepanjang tahun.

"Di bawah program ini, murid perlu mencatatkan maklumat pengarang, judul, bilangan muka surat, penerbit dan sinopsis atau peta minda tentang buku yang dibaca ke dalam buku rekod khas. 

"Mereka juga boleh adaptasi apa yang mereka baca dalam bentuk lakonan atau sebagainya. Mereka juga akan mendapat ganjaran merangkumi pemberian hadiah, sijil pengiktirafan dan mencatatkan jumlah buku yang dibaca pada buku rekod kemajuan atau pada sijil berhenti sekolah," katanya.

Selain itu, katanya, program Nilam ini juga secara tidak langsung dapat mewujudkan persekitaran yang kondusif dan sudut bacaan yang sesuai untuk pembacaan di kawasan sekolah.

Di samping itu, ia dapat menampilkan murid yang mengamalkan ciri-ciri pembaca berkualiti. 

"Ini juga cara untuk pihak sekolah dapat mengenal pasti tokoh murid yang banyak membaca, bertrampilan serta mempunyai sifat kepimpinan," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor