Pages

Monday, February 6, 2017

[PEKAN] TERNAKAN KEBULURAN DI 'PULAU', DVS BERI PENJELASAN


Makanan lembu terputus, kandang jadi pulau


Keadaan dan keselamatan ternakan lembu yang terkepung akibat banjir di Kampung Sungai Ganchong, dekat sini dipantau oleh Pejabat Perkhidmatan Veterinar Pekan sejak hari pertama berlaku banjir pada 26 Januari lalu.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dalam satu kenyataan berkata, penternak telah dinasihatkan untuk memindahkan ternakan dengan bantuan DVS tetapi beliau enggan disebabkan pengalaman beliau yang telah biasa menghadapi situasi banjir selama 20 tahun.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan Sinar Harian bertarikh 4 Februari serta di Twitter yang menyatakan terdapat ternakan lembu yang kebuluran akibat banjir yang tular di media sosial.

"Untuk makluman, kejadian banjir tersebut bermula pada 26 Januari lalu dan semasa permulaan banjir, pasukan DVS turun memantau keadaan banjir dan keselamatan ternakan.

"Oleh itu, pemantauan situasi banjir dan keadaan ternakan telah dilakukan oleh Pejabat Veterinar Daerah Pekan dari masa ke semasa," kata kenyataan itu.

DVS melalui Pejabat Veterinar Daerah Pekan juga memberi bantuan 76 beg makanan ternakan kepada penternak iaitu pada 27 Januari sebanyak 500 kilogram (10 beg) dan 825 kilogram silaj (33 beg) pada 2 Februari bersama pihak Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (GTR).

"Sementara pada 5 Februari, sebanyak 825 kilogram silaj (33 beg) disalurkan kepada penternak.

"Pada hari sama, pihak DVS yang melakukan pemantauan mendapati keadaan banjir semakin surut dan ternakan lembu di dapati sihat serta berada dalam keadaan selamat," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor