Pages

Monday, February 6, 2017

[MARAN] 'DOAKAN MEREKA MENDAPAT HIDAYAHNYA'


'Doakan mereka mendapat hidayahNYA'


Mengikut satu kajian di Malaysia dianggarkan 1 dari 625 kanak-kanak mengalami gejala autisme, walaupun bukan satu kajian yang berskala besar namun angka tersebut agak memeranjatkan. 

Seperti yang saya tuliskan sebelum ini, keprihatinan dan kesedaran ibu bapa memainkan peranan yang penting menyedari gejala ini dari awal supaya dapat dibendung dan kanak-kanak tersebut didedahkan dengan pelbagai kaedah pembelajaran atau kaunseling atau terapi yang dapat membantu kanak-kanak tersebut.

Baru-baru ini sebahagian dari negeri di pantai timur dilanda banjir dan agak teruk melibatkan kerosakan sama ada kediaman penduduk setempat atau juga sekolah-sekolah.

Imperia yang juga merupakan Pusat Latihan berdaftar dengan 1B1K (1 Belia 1 Kemahiran) di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM) menyahut laungan untuk bersama memberi khidmat pasca banjir di kawasan Maran. 

Kami gembira apabila seramai 38 orang pelajar termasuk pelajar pendidikan khas secara sukarela untuk turut serta di dalam misi tersebut.

Pelajar Imperia ditempatkan di Kampung Serengkam, Maran membersihkan Sekolah Agama Rakyat yang teruk dilanda banjir dan seterusnya pula membersihkan Sekolah Kebangsaan Pasir.

Kami juga terharu apabila sokongan dari YAB Ahli Parlimen Maran yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Mutalib yang turun bersama memberi semangat dan sokongan.

Rata-rata pelajar seronok walaupun penat sepanjang hari membuat kerja sukarelawan yang bermula dari jam 6.30 pagi dan berakhir pada jam 6 petang, syabas kepada mereka yang mempunyai sikap kesukarelawan membantu yang memerlukan.

Di kolej pula saya bertemu dengan R, yang sepatutnya telah pulang ke kampung tetapi enggan pulang. R merupakan seorang anak yatim yang tinggal di sebuah rumah anak yatim yang dikendalikan oleh persatuan anak yatim NGO, tetapi R masih mempunyai adik-beradik seperti kakak dan abang.

R lebih gembira untuk tinggal di kolej di mana mendapat teman dan dapat bekerja menampung perbelanjaan hariannya. Saya lihat seorang anak muda autisme ini asyik menyeberang jalan dari warung yang saya singgah untuk menjamu selera.

Agak peramah anak muda ini bersama ramai orang tua-tua lelaki yang juga minum di warung tersebut tetapi agak janggal selepas berbual anak muda akan bangun dan menyeberang jalan ke kedai membeli sesuatu untuk pakcik-pakcik tersebut.

Oleh sebab sifat ingin tahu saya pun duduk pusing bersetentangan dengan mereka, agak memeranjatkan kerana anak muda tersebut menjadi 'runner' pakcik-pakcik untuk ke seberang jalan membeli 'nombor ekor' untuk mereka. Sungguh menyedihkan apa yang dilihat, apa patut saya lakukan?

Sikap mereka berjudi sudahlah satu kesalahan, ini pula mempergunakan anak muda autisme sebagai perantaraan kegilaan berjudi mereka agak menyedihkan kerana secara tidak langsung telah mendidik anak muda tersebut ke arah jalan yang salah.

Saya hanya berharap mereka semua itu mendapat kesedaran dan mungkin saya tidak sekuat yang saya sangka kerana tidak dapat menegur perbuatan mereka, harap mereka sedar suatu hari nanti. Doakan mereka mendapat hidayahNYA.

#Zahar Ali adalah Pengerusi Eksekutif Imperia Academy of Tourism Sdn Bhd & Imperia College of Hospitality. Beliau satu-satunya speaker dari Malaysia yang terlibat dalam National Autism Convention 2016 di Phuket, Thailand.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor