Amat membimbangkan jika kita melihat kepada kecenderungan pihak tidak bertanggungjawab mencampurkan produk ubat-ubatan tradisional, makanan atau minuman kesihatan serta kosmetik keluaran mereka dengan bahan racun terkawal.
Kebelakangan ini, lambakan pelbagai makanan, minuman dan kosmetik yang terlalu banyak di pasaran.
Lambakan pelbagai produk ini yang boleh diperoleh pada harga murah, dikhuatiri mengandungi bahan terlarang.
Bahkan, dengan rancaknya jualan secara atas talian (online) menambah lagi kerancakan pengeluaran produk seumpama itu di negara ini.
Pun begitu, di sebaliknya kesan positifnya kepada pembangunan ekonomi negara, lambakan produk-produk ini yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan turut memberi kesan negatif kepada pengguna.
Ikuti SOROT minggu ini mengupas isu penggunaan bahan terlarang dalam produk kegunaan pengguna seharian.
KES 1: Masuk hospital kerana 'fat burner'
MEMILIKI berat badan kira-kira 90 kilogram, Ismail Mat yang berusia 42 tahun ketika itu, tidak kisah beratnya berlebihan.
Namun, mendengarkan kisah sahabatnya yang menjalani pembedahan pintasan jantung, membuatkan Ismail tekad menjadi individu yang lebih sihat.
“Sebelum ini, saya tidak terfikir hendak jaga kesihatan. Selepas berjumpa dengan ‘boss’ lama pada 2010, saya nekad tidak mahu nasib sama menimpa.
“Saya perlu buat sesuatu. Jadi mulalah aktiviti baru di gimnasium. Saya akui, pada awalnya memang ada ambil fat burner akibat terpengaruh dengan rakan-rakan gim,” katanya.
Menurut Ismail, 49, pengambilan fat burner mempercepatkan proses pembuangan lemak dan pembinaan otot.
Bagaimanapun, fat burner yang digunakan membuatnya terlantar di hospital.
“Degupan jantung semakin laju. Tekanan darah naik dan doktor sahkan saya ada darah tinggi. Melihat bentuk badan, doktor yang merawat pula seakan tahu saya ambil fat burner.
“Sejak dari kejadian itu, saya berhenti ambil makanan tambahan. Fat burner tidak sesuai kerana faktor usia. Yang penting sebenarnya adalah tubuh kita sihat. Badan yang cantik, belum tentu menjamin kesihatan,” katanya.
Nasihat Ismail, bagi mereka yang mahu mengambil makanan tambahan untuk cantik, perlu waspada, kerana bukan semua sesuai mengamalkannya.
“Ramai yang ambil makanan tambahan ini golongan muda yang tidak sabar mahu badan sasa.
“Pengetahuan kandungan dalam makanan tambahan itu adalah penting.
Jika tidak kena hari ini, mungkin pada masa jangka panjang. Dapatkan nasihat daripada pakar,” katanya
KES 2: Mahu kurus kesihatan digadaikan
SUDAH menjadi lumrah bagi setiap manusia terutama golongan wanita ingin kelihatan cantik pada setiap mata memandang.
Untuk menjadi kurus, tidak ada jalan mudah selain mengamalkan gaya hidup sihat terutama dalam soal pemakanan dan bersenam.
Beratus produk kesihatan dan kecantikan diiklankan di media sosial dengan pelbagai janji manis untuk melariskannya.
Namun, adakah anda sedar produk yang digunakan mendapat kelulusan daripada pihak berwajib dan bahan yang digunakan bukan bahan terlarang.
Bagi wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Suzana, keghairahan untuk kurus menyebabkan dia mencuba pelbagai pil diet sehingga mendatangkan masalah kesihatan pada hatinya.
“Bila baca iklan yang menyatakan boleh kurus tanpa perlu bersenam, saya terus tertarik untuk membelinya.
“Hampir setahun makan pil diet ini, saya makin kurus tetapi kurus saya itu disebabkan oleh masalah kesihatan yang dialami. Saya dapat tahu tentang sakit saya ketika saya pengsan di rumah sebelum ke tempat kerja,” katanya.
Menurut Suzana, dia tidak menyedari bahawa produk berkenaan tidak mempunyai kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.
“Saya hanya makan dan percayakan testimoni yang ditunjukkan pada ruang iklan produk tersebut di media sosial.
“Alhamdulillah, umur masih panjang dan kesihatan saya semakin baik,” katanya.
Kesal dengan obsesi untuk kurus, dia berharap orang ramai terutama wanita lebih berhati-hati memilih produk kecantikan yang berada di pasaran.
“Saya tidak melarang anda untuk cantik tetapi pilih produk yang bagus dan diluluskan. Tidak ada jalan singkat untuk kurus dan kelihatan cantik,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor