Bukit Mertajam - Polis akan sentiasa memantau perkembangan bekas perogol bersiri, S.Selva Kumar yang dikatakan akan kembali ke negeri ini memandangkan dia pernah menetap di Pulau Pinang dan masih mempunyai keluarga di sini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, pihaknya sedar kepulangan Selva Kumar dari Kanada akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, namun polis tidak boleh mengenakan sebarang sekatan kepadanya.
Sebaliknya, Ghee Lye berkata, polis akan memerhatikan aktiviti perogol bersiri itu agar tidak melakukan jenayah sama di sini.
Menurutnya, bekas perogol bersiri berusia 56 tahun itu yang dijadual tiba di Malaysia hari ini, berhak hidup seperti orang biasa setelah menjalani hukuman atas kesalahannya.
"Polis tidak boleh tahan lelaki itu di negara ini hanya semata-mata rekod jenayah yang dilakukannya kerana dia sudah terima hukuman sewajarnya di luar negara...jadi (dia) bebas untuk kembali ke Malaysia.
"Buat masa ini kami tak terima maklumat sama ada dia akan menetap di Pulau Pinang atau tempat lain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jom Kembali Ke Sekolah peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sejahtera, di sini hari ini.
Selva Kumar dijangka tiba Malaysia hari ini selepas menjalani hukuman penjara 24 tahun di Kanada atas 19 kesalahan serangan seks, 28 kesalahan berkaitan dadah, 10 kesalahan pelbagai serangan dan 12 kesalahan lain termasuk peras ugut di negara itu.
Beberapa portal berita sebelum ini melaporkan lelaki yang berasal dari Perak itu dijangka menetap di Pulau Pinang kerana mempunyai anggota keluarga yang tinggal di negeri ini.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor