Pages

Friday, February 3, 2017

PADAH TIPU JUAL IPHONE DALAM WECHAT


Padah tipu jual iPhone dalam WeChat


Gua Musang - Seorang penganggur dijatuhkan hukuman tiga tahun penjara dan lima sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini, setelah mengaku salah menipu dalam pembelian telefon bimbit, Mac tahun lalu.

Hakim, Mohd Rosly Mohamed Nawi menjatuhkan hukuman itu terhadap, Mohamad Azmil Mohd Diah, 24, beralamat di Masai, Johor.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu penyelia restoran makanan segera, Mohd Rhaimiey Faisal Mamat, 28, di alamat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap, dalam urusan pembelian telefon bimbit jenis iPhone 6.

Tertuduh mengaku gagal memberikan telefon berkenaan yang dijual dengan harga RM500 melalui aplikasi WeChat, biarpun transaksi telah dibuat dalam tempoh lebih seminggu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, serta sebat atau denda jika disabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwaraya, Mohd Waffy Ismail berkata, kes ini diharapkan boleh menjadi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan pembelian menerusi atas talian.

"Sejak kebelakangan ini, terlalu banyak kes kes penipuan yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab menerusi aplikasi media sosial seperti Facebook, WeChat dan WhatsApp.

"Sebaik-baiknya, masyarakat perlu berwaspada apatah lagi individu berkenaan tidak dikenali dan melibatkan transaksi wang yang banyak. Walaupun pembelian atas talian lebih mudah, namun risiko penipuan lebih terdedah," katanya lagi.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor