Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengingatkan masyarakat terutamanya pelajar yang ingin menyambung pengajian ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di luar negara supaya menyemak terlebih dahulu latar belakang universiti yang ingin dimasuki mereka.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia, Datin Ir Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, langkah itu perlu bagi memastikan mereka tidak tertipu dengan universiti terutamanya yang menawarkan pengajian secara atas talian yang tidak diiktiraf.
“Pihak KPT sememangnya memandang serius mengenai kes tawaran untuk mendapatkan PhD hanya dalam tempoh dua minggu seperti mana yang tersebar luas ketika ini.
“Secara asasnya tiada mana-mana universiti yang sah serta diiktiraf mengeluarkan sijil atau pengesahan PhD hanya dengan belajar dalam tempoh dua minggu.
“Kita perlu sedar bahawa untuk mendapatkan PhD ini mereka perlu melalui proses pengajian yang panjang serta mengikuti pelbagai fasa, jadi mustahil sijil dapat diperoleh dalam tempoh dua minggu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir menyempurnakan Persidangan Antarabangsa bagi Pengajaran dan Pembelajaran dalam Pendidikan Tinggi (ICTLHE) di Auditorium Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah (PSNZ), UMT, di sini.
Jelasnya lagi, kesedaran daripada masyarakat itu sendiri perlu bagi memastikan mereka tidak terpedaya dengan tawaran yang tidak masuk akal itu.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor