Kesukaran hampir 200 penduduk dari 50 keluarga di Kampung Relai, Mukim Cheka Dua di sini menghadapi masalah bekalan air bersih kini berakhir apabila projek air masyarakat di kampung tersebut berjaya dilaksanakan.
Ketua Kampung Relai, Mohamad Mat Jali, 50, berkata, sebelum ini penduduk kampung berkenaan menghadapi kesulitan dalam melakukan rutin harian kerana bekalan air paip bersih sering terputus.
Menurutnya, gangguan bekalan air bersih yang kerap berlaku turut menjejaskan rutin harian 200 pelajar yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Agama Al Ittihadiah, Kampung Relai di sini dan menyukarkan mereka untuk fokus dalam pelajaran.
"Walaupun ada air paip bersih yang disalurkan dari loji air Mela namun ia sering terputus. Kadang-kadang sampai seminggu takde air kat kampung ni. Itu belum kira bekalan air paip terputus masa kenduri kahwin dan hari raya.
"Sekarang penduduk boleh tarik nafas lega sebab projek bekalan air masyarakat yang diusahakan sejak tahun 2015 telah berjaya dilaksanakan dan penduduk tidak lagi menghadapi kesulitan untuk melakukan kerja harian," katanya sempena Majlis Perasmian Bekalan Air Masyarakat Kampung Relai di sini, semalam.
Hadir merasmikan majlis tersebut, Ketua Penerangan Umno Bahagian Lipis, Datuk Abu Jimi Samat.
Hadir sama Pegawai Kesihatan Daerah Lipis, Dr Noor Hafizan Mat Salleh dan Penghulu Mukim Cheka Dua, Zulkifli Ramli.
Bagi Pengerusi Bekalan Air Masyarakat Kampung Relai, Rosli Hassan berkata, pihaknya melahirkan rasa syukur dan gembira dengan komitmen yang diberi oleh Pejabat Parlimen Lipis, Pejabat Kesihatan Daerah Lipis serta penduduk kampung yang bertungkus lumus menjayakan projek bekalan air masyarakat.
Menurutnya, bekalan air masyarakat tersebut diambil dari Bukit Putu yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari kampung tersebut dengan kos mencecah RM100,000.
"Projek ini sememangnya sudah lama dinanti-nantikan penduduk kampung.Lebih manis lagi apabila projek pembinaan empangan dan pemasangan paip dari Bukit Putu ke kediaman penduduk dilaksanakan secara bergotong-royong membabitkan penduduk kampung dan staf Pejabat Kesihatan Daerah Lipis.
"Melalui projek ini secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan silaturrahim dalam kalangan penduduk dan pihak berkaitan,"katanya.
Sementara itu, Abu Jimi berkata, pemasangan paip air masyarakat itu membuktikan usaha berterusan yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi memberi kehidupan terbaik kepada penduduk kampung berkenaan.
“Sehubungan itu, saya berharap rakyat dapat menghargai dan mensyukuri nikmat pembangunan yang disediakan kerajaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor