Kota Kinabalu - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menggesa masyarakat Cina di Sabah untuk memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada kerajaan, selain meneruskan peranan dalam membangunkan dan memajukan lagi negeri ini.
Katanya, beliau percaya kestabilan politik, perpaduan, keharmonian dan toleransi di Sabah akan terus menyumbang terhadap kemajuan dan kesejahteraan menyeluruh di negeri ini.
"Kerajaan negeri ikhlas dalam memastikan keperluan semua rakyat Malaysia di Sabah dipenuhi secara adil," katanya pada Festival Ang Pau Tahun Baharu Cina anjuran Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Sabah, di sini, malam tadi.
Musa berkata, kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum atau kumpulan etnik dalam melaksanakan program-program pembangunan di Sabah.
"Komitmen kami kepada semua sudah terbukti menerusi peruntukan besar setiap tahun untuk sekolah-sekolah dan tempat-tempat ibadat bukan Islam, termasuk mereka daripada masyarakat Cina," katanya.
Pada majlis itu, Musa turut mengumumkan ikrar kerajaan negeri untuk memberikan peruntukan RM50,000 kepada persekutuan itu.
Sementara itu, mengenai tragedi bot pelancong jenis katamaran Sabtu lepas, Musa berkata kerajaan Sabah melakukan yang terbaik dalam membantu operasi mencari mereka yang masih hilang dan mereka yang terjejas dalam insiden itu.
"Bagi pihak kerajaan negeri, saya merakamkan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian bot karam itu baru-baru ini," katanya.
Sabtu lepas, katamaran yang membawa 31 penumpang, terdiri daripada 28 pelancong warga China dan tiga kru, karam pada kira-kira 10 pagi, kira-kira sejam setelah berlepas dari jeti Tanjung Aru untuk ke Pulau Mengalum, kira-kira 56km dari Kota Kinabalu.
Setakat ini, 25 mangsa telah dijumpai manakala enam lagi masih hilang. Kawasan pencarian bagi enam yang masih hilang telah diperluas kepada 3,900 batu nautika persegi dengan pasukan mencari dan menyelamat hari ini mula memasuki perairan Miri, Sarawak.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor