Pages

Thursday, February 9, 2017

KIT SIANG PERLUKAN LEBIH TUISYEN DARI TONY PUA


Salleh Said Keruak


Kuala Lumpur - Berikut adalah kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menerusi laman blog beliau semalam:

"Hari ini Lim Kit Siang meminta saya mengambil tuisyen daripada Tony Pua bagi meningkatkan pengetahuan tentang hal ehwal kewangan, "kerana ilmu yang sedikit sangat berbahaya", kata Kit Siang. Pada hemat saya Kit Siang sendiri diajar oleh Tony yang dianggap beliau sebagai pakar kewangan.

Apa yang disenaraikan Kit Siang dalam blognya hanya isu-isu operasi dalam menjalankan perniagaan. Syarikat mendapatkan dana daripada pelbagai sumber untuk membeli aset dan menjalankan perniagaan. Itu perkara biasa melainkan syarikat memulakan perniagaan dengan modal berbayar yang besar. Dan dalam kes 1MDB, modal permulaan hanya RM1 juta.

Isunya di sini adakah 1MDB hilang RM42 bilion secara fizikal seperti yang didakwa? Tun Dr Mahathir berkata RM42 bilion lesap atau hilang begitu sahaja.

Ini bermakna 1MDB tidak mempunyai apa-apa untuk ditunjukkan. Itu tidak benar kerana 1MDB ada aset bernilai RM51 bilion selain pembangunan yang sedang dilaksana untuk beberapa dekad akan datang.

Justeru, saya tidak perlukan bimbingan tambahan daripada Tony seperti mana Kit Siang untuk memahami sesuatu yang sangat asas. Dan saya tidak hadir sidang Meja Bulat Selamatkan Malaysia kerana acara itu bukan tentang menyelamatkan Malaysia, sebaliknya ada udang di sebalik batu dan agenda tersembunyi.

Mengenai isu BMF dan forex Bank Negara yang Kit Siang bangkitkan, kedua-duanya adalah kerugian sebenar dan secara fizikal tanpa sebarang faedah kepada negara. Sebaliknya, 1MDB merupakan usaha yang berterusan. Mungkin Kit Siang perlu menukar tutor jika Tony tidak jelaskan perkara ini kepada beliau."


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor