Pages

Thursday, February 9, 2017

BALING CAWAN KENA KEPALA IBU


Baling cawan kena kepala ibu


Seremban - Mahkamah Majistret Seremban, di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan terhadap seorang penganggur kerana mencederakan ibunya pada 23 Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Afiq Abdullah, 31, mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Zaki Abd Rahman.

Mengikut pertuduhan, dia dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada ibunya, Siti Bujal, 68, dengan cara membaling cawan kaca ke bahagian kepala di sebuah rumah di Kampung Che Lah, Mantin, dalam kejadian kira-kira 6.30 pada tarikh berkenaan.

Oleh itu, Mohd Afiq telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tiga tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua dari hukuman tersebut jika sabit bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas perbuatan tertuduh yang tergamak mencederakan ibu kandung sendiri.

Mohd Zaki kemudian menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara dari tarikh tangkapan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, Siti meminta tertuduh membawa barang makanan yang baru dibeli untuk dibawa masuk ke dalam rumah, namun anaknya enggan membantu.

Tertuduh kemudian meminta ibunya membuat air minuman tetapi ibunya enggan kerana keletihan selepas baru pulang kerja sebagai operator di sebuah kilang di Nilai.

Berang melihat ibunya enggan membuat air ditambah pula anak saudaranya memakan biskut yang telah dibeli tertuduh menyebabkan Mohd Afiq naik angin dan bertindak membaling cawan kaca ke arah Siti hingga terkena dahi dan berdarah.

Siti yang mengalami luka dan bengkak di dahi menerima rawatan di Klinik Kesihatan Mantin, manakala tertuduh terus melarikan diri sejurus kejadian.

Difahamkan, tertuduh turut mempunyai rekod lampau atas kesalahan penyalah gunaan dadah.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor