Lahad Datu - Polis Lahad Datu menahan 22 individu dipercayai terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah termasuk ragut, pecah rumah dan samun di daerah itu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, kesemua mereka termasuk sembilan warga asing, ditahan dalam operasi yang diadakan sejak Februari hingga September ini.
"Hasil operasi sehingga Rabu lepas, mereka yang terdiri daripada 19 lelaki dan tiga wanita berumur antara 18 dan 43 tahun ditahan dan mereka bukan daripada satu sindiket," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Hamzah berkata, dengan tertangkapnya suspek berkenaan, polis dapat menyelesaikan 11 kes jenayah di daerah itu antaranya samun, pecah rumah dan curi, curi dalam bangunan serta ragut.
Selain itu, polis turut merampas motosikal, senapang angin, beg galas, komputer riba dan telefon bimbit daripada suspek.
Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama orang ramai dan polis akan terus memperhebatkan program kepolisan komuniti untuk mengeratkan hubungan dengan masyarakat.
Sementara itu, Hamzah berkata pihaknya turut menahan sepasang suami isteri dipercayai warga Filipina yang dipercayai mengedar dadah di sebuah rumah di Kampung Binuang di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, katanya, polis turut merampas dadah jenis Syabu seberat 51.43 gram dalam satu sampul surat di rumah suspek yang masing-masing berusia 30 dan 26 tahun.
"Anggaran nilai dadah yang dirampas adalah RM4,500 dan kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor