Pages

Sunday, August 14, 2016

ADAM PERLUKAN SUMBANGAN DANA RAWATAN TULANG BELAKANG


Adam perlukan sumbangan dana rawatan tulang belakang


Melihat raut wajah dan petah bicaranya, siapa sangka remaja berusia 14 tahun ini menghidap skoliosis. Adam Akbar Ali adalah individu normal sejak dilahirkan, namun perjalanan hidupnya diuji hebat dengan serangan tumor pada saraf tunjang sejak usia 10 tahun.

Mengimbau derita ditanggung anak lelaki tunggal daripada tiga beradik, pasangan Akbar Ali Mohamed Noordin, 47, dan Siti Rogayah Syed Ismail, 38, mula menyedari Adam menghidap tumor selepas diagnosis pada 2008 di Hospital Selayang.

"Penyakit yang dihidapi Adam umpama satu dalam 200,000 dan kes ini sangat jarang berlaku di negara kita, lagipun ia tidak dapat dikesan ketika dalam kandungan.

"Pada awalnya dia tidak menunjukkan apa-apa tanda, malah selesa mengamalkan gaya hidup aktif seperti kanak-kanak biasa yang lain," kata bapanya.

Menurut Akbar Ali, pembedahan pertama selamat dijalankan di Singapura, tapi malangnya hanya sedikit tumor berjaya dikeluarkan.

Detik getir mula dirasai apabila Adam buat kali kedua mengadu sakit yang kronik pada 2010. Pembedahan kedua selamat dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), juga peluang yang tipis kerana amat sedikit tumor dikeluarkan.

"Pembedahan itu berjaya dan tidak alami masalah, risikonya juga tiada, namun masalah tumor masih tidak dapat diselesaikan," katanya.

Sebagai ketua keluarga, hati mana mampu mengawal perasaan apabila melihat keadaan anak lelakinya belum pulih.

"Saya mula cari maklumat tantang penyakit ini dan berjaya menghubungi pihak Institut Johns Hopkins dan Pakar Neuro, George Jallo," katanya.

Pada usia 10 tahun, Adam selamat menjalani pembedahan di Hospital Johns Hopkins, Baltimore, di Amerika Syarikat bagi membuang tumor, dan impiannya untuk pulih hampir tercapai.

"Alhamdulillah, pembedahan tersebut berjaya dan Adam menjalani kehidupan normal seperti remaja lain," katanya.

Kini menderita tulang belakang bengkok

SELEPAS empat tahun, kisah duka Adam kembali lagi kesan tumor tersebut. Tulang belakang pula membengkok dan ia mencecah hampir 50 darjah. Doktor menasihati agar pembedahan segera dilakukan.

"Perkara ini sudah dijangka, dan kami telah dimaklumkan oleh doktor berlakunya skoliosis (tulang belakang bengkok yang agak teruk), namun rawatan tidak boleh dijalankan pada masa itu kerana faktor usia Adam masih muda," kata Akbar Ali.

Baru-baru ini, suasana cemas kembali lagi. Adam terpaksa dikejarkan ke bahagian kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana mengadu sakit teruk di tengkuk hingga ke seluruh tangan kanannya.

"Dia mengadu susah mengangkat tangan dan mengalami kebas-kebas serta hujung-hujung jari rasa mencucuk-cucuk," katanya.

Atas rundingan bersama doktor, pembedahan segera perlu dilakukan bagi mengelakkan risiko lumpuh dan kerosakan organ dalaman yang boleh membawa maut.

Atas pandangan doktor juga, pembedahan kali ini amat berisiko tinggi kerana ia adalah pembedahan keempat dilakukan ke atas Adam, malah Adam berisiko mengalami pendarahan banyak yang berkemungkinan membawa maut dan lumpuh.

Adam bersemangat tinggi

SITI Rogayah begitu hiba tatkala mengenang nasib Adam, seorang anak yang disifatkan bersemangat tinggi dan penuh dengan aura positif. Tanpa disedari, air mata mula mengalir laju.

"Maaf, saya tak dapat kawal perasaan. Perjalanan hidup Adam daripada mengandung hingga saat melahirkan begitu mencabar. ALLAH begitu menguji kami. Saya tak mampu melahirkan dia seperti proses kelahiran biasa, cesarean adalah jalan penyelesaiannya," katanya.

Akui Siti Rogayah, kadang kala ujian itu tidak selalunya melemahkan, bahkan rasa bangga beliau terhadap Adam begitu tinggi.

Remaja kental itu berjaya mencapai kecemerlangan 5A ketika menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), sekali gus menempatkan dirinya sebaris rakan-rakan istimewa yang lain di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

"Namun, melihat keadaan Adam yang tidak mengizinkan, akhirnya kami pindahkan Adam ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mohd Said, Nilai, berdekatan rumah kami ketika ini," katanya.

Meskipun sulit untuk melalui pembedahan kali keempat, Adam akui inilah satu-satunya ikhtiar yang perlu disegerakan demi memastikan kesihatannya stabil.

"Saya begitu mengharapkan ihsan daripada orang ramai untuk membantu keluarga kami mengumpul dana bagi membiayai kos pembedahan. Semoga dengan keprihatinan anda, saya dapat menjalani hidup seperti remaja-remaja lain. Saya amat menghargainya demi masa depan," katanya yang bercita-cita menjadi pakar perubatan dalam bidang neuro.

Jelas Akbar Ali, kos pembiayaan untuk pembedahan kali ini mencecah AS$240,000 (RM960,000).

"Saya tidak mampu membiayai kos sebanyak ini. Kami mengharapkan bantuan daripada seluruh rakyat Malaysia untuk menjayakan misi ini demi masa depan anak kami," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor