Seberang Takir – “Saya inginkan keadilan buat arwah suami dan juga anak-anak yang terpaksa menerima hakikat kehilangan ayah mereka dalam sekelip mata,” demikian kata Wan Noria Wan Ahmad, 43.
Wan Noria merupakan isteri kepada arwah Mohd Sabri Ngah, 48, antara empat yang terbunuh dalam kemalangan ngeri berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Nanas, Tepoh, awal pagi Khamis lalu.
Menurut suri rumah yang juga ibu kepada empat orang cahayamata itu lagi, kehilangan suami sememangnya dirasai apatah lagi arwah merupakan satu-satunya tempat bergantung.
“Ketika dimaklumkan mengenai kemalangan yang meragut nyawa suami itu pada mulanya saya tidak percaya, sehinggalah kakak ipar memberitahu sekali lagi.
“Fikiran saya melayang dan menjadi gelap seketika kerana tidak dapat saya bayangkan dengan pemergian mengejut arwah, malah kami juga belum sempat berbual panjang kerana arwah baharu sahaja pulang dari tempat kerjanya selepas dua minggu tidak pulang,” katanya yang memaklumkan suaminya itu bekerja di pelantar minyak yang berpangkalan di Kemaman.
Katanya lagi, dia tidak dapat membayangkan kehidupan mereka sekeluarga selepas ini dan berharap agar kes kemalangan itu diselesaikan secepat mungkin agar pesalah menerima hukuman sewajarnya.
“Saya reda dan menerima segala ketentuan Ilahi, namun saya juga berharap ada keadilan buat arwah suami,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batin, di sini, semalam.
Jelasnya lagi, fokusnya kini adalah untuk membesarkan anak-anak yang berusia antara setahun lapan bulan hingga 15 tahun dan memastikan mereka mendapat pendidikan yang terbaik untuk membantu mengubah nasib mereka sekeluarga pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor