Kajang - Pastikan anda tidak diekori orang tidak dikenali setelah mengeluarkan wang yang banyak dari bank.
Anda mungkin menjadi sasaran perompak.
Menurut polis, modus operandi perompak adalah memerhati dan menyasarkan individu yang mengeluarkan jumlah wang besar di bank dan akan mengekorinya.
"Suspek akan menyewa kenderaan tempatan dan mengekori mangsa hingga tempat mangsa berhenti sebelum bertindak," kata Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nanyan hari ini.
Dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah itu di sini, beliau berkata, polis menahan lima lelaki warga asing kerana disyaki terlibat dalam kes pecah kereta di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9, Cheras, Sabtu lalu.
Othman berkata, tiga daripada suspek itu ditahan di Stulang Laut, Johor, ketika cuba melarikan diri ke negara jiran manakala dua lagi ditahan di Pandan Jaya, Ampang, di sini.
"Kesemua suspek berusia lingkungan 29 hingga 40 tahun," katanya.
Katanya, seorang lagi suspek dalam kegiatan yang sama sedang diburu. Dalam pada itu, Othman menasihatkan pemilik kedai kereta sewa agar mengambil butir-butir peribadi penyewa kenderaan mereka agar tidak disalahguna.
"Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.
Pada Khamis lalu, dua suspek lelaki memecahkan tingkap sebuah kereta milik seorang pengarah syarikat yang ketika itu sedang menunaikan solat Asar di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9, Cheras.
Sebelum itu mangsa membuat pengeluaran wang dari bank berhampiran.
"Suspek bertindak memecahkan kereta mangsa dan mengambil sampul surat berisi wang RM29,440 dan melarikan diri dengan menaiki kereta sewa jenis Myvi," katanya.
Statistik polis Kajang menunjukkan terdapat 14 kes pecah kereta di sekitar Kajang dan Bangi pada tahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor