Pages

Monday, June 6, 2016

[KUANTAN] KEDATANGAN RAMADAN DISAMBUT SEDERHANA


Kedatangan Ramadan disambut sederhana


Sempena kedatangan Ramadan, orang ramai tidak melepaskan peluang membeli keperluan barang basah untuk di masak waktu sahur dan berbuka.

Tinjauan Sinar Harian di Pasar Tani UTC Pahang mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan pelbagai jenis barang basah seperti ayam, daging dan tidak ketinggalan ikan air tawar seperti patin, keli, baung dan tilapia.

Penjawat awam, Nur Shahnieyati Ahmad Shukri, 39, berkata, persediaan menyambut Ramadan hanya dilakukan secara sederhana bagi mengelak pembaziran.

Menurutnya, dia mengambil peluang ke pasar tani semalam untuk membeli keperluan harian seperti sayur, ikan dan daging.

“Seperti Ramadan sebelum ini, perbelanjaan membeli lauk pauk tidak terlalu banyak. Walaupun ada kalanya kami membeli juadah di bazar Ramadan, namun ada had dan tidak melebihi bajet.

“Kami sekeluarga membeli mengikut keperluan dan mengelak daripada rambang mata ketika ke bazar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pasar Tani UTC Pahang di sini, semalam.

Sementara itu, Kapujan Jabar, 54, dari Kampung Batu 3 berkata, setiap kali bulan puasa, dia dan keluarga sibuk berniaga di bazar Ramadan.

Katanya, dia mendapatkan bahan mentah seperti ikan keli, ayam dan daging di pasar tani kerana harga ditawarkan lebih rendah selain segar.

“Kita sambut Ramadan dengan sederhana sahaja, lagipun kita perlu berjimat untuk membuat persiapan hari raya nanti,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor