Lari daripada kebiasaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) memperkenalkan program masakan terbaharu, Kecoh Dapur sepanjang Ramadan ini.
Sesuai dengan tajuknya, program ini turut menampilkan gandingan Amyza Aznan dan Ieda Moin yang sememangnya terkenal dengan watak ‘gila-gila’ mereka.
Berlatarkan kawasan kampung, kata Amyza, rancangan masakan ini mengetengahkan konsep rewang bersama warga penduduk.
"Rancangan ini sangat berbeza dengan program memasak yang sedia ada.
"Biasanya, dalam setiap program memasak pasti akan ada artis jemputan selain dilakukan di studio.
"Tetapi, dalam rancangan ini, kita perlu mengunjungi mana-mana kampung dan kerja menyediakan hidangan dilakukan secara bergotong royong,” katanya kepada Zass ketika ditemui di sidang akhbar program Ramadan RTM, baru-baru ini.
Katanya, kampung yang menjadi pilihan ialah Kampung Pasir Bayam Dong, Raub, Pahang; Kampung Relung, Lipis, Pahang; dan Felda Sungai Tengi Selatan, Selangor.
"Alhamdulillah, bekerjasama dengan setiap penduduk kampung sangat memudahkan. Malah, kita juga senang untuk menyesuaikan diri.
"Lebih-lebih lagi, apabila semua penduduk kampung ini begitu teruja untuk beraksi.
"Menariknya, semuanya dilakukan secara spontan dan tanpa dirancang," katanya.
Dalam pada itu, pasangan hosnya, Ieda mengakui pelbagai cabaran perlu dihadapi sepanjang menjalani penggambaran program masakan ini.
"Kita memang tidak disediakan dengan bahan-bahan masakan sebaliknya perlu mencari sendiri di kawasan sekeliling.
"Macam-macam pengalaman diperoleh antaranya masuk pokok bakau cari siput sedut, tangkap ayam, tebang pokok kelapa cari umbut, masuk dalam kolam tangkap ikan keli, masuk parit cari kangkung dan sebagainya.
"Kita membawakan pelbagai menu menarik yang menyelerakan seperti gulai rebung jangat, ayam masak kerutub, kembong tauchu perang, ayam masak ungkep, serunding jawa dan ole ole madu untuk dicuba penonton di rumah," katanya.
Pada masa sama, baik Amyza mahupun Ieda, turut meluangkan masa berkongsi tip dan panduan memasak bersama-sama penduduk kampung.
"Alhamdulillah, rancangan ini memberikan info yang sangat berguna sekaligus mempelajarinya," katanya.
Lebih membanggakan lagi, program masakan ini juga dikatakan sebagai program pengenalan kepada saluran TV2, RTM.
Kecoh Dapur yang bersiaran selama 13 episod kini sedang bersiaran pada setiap Isnin hingga Sabtu, jam 4 petang di TV2.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my).
Selain itu, rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtmmobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor