Pages

Tuesday, June 14, 2016

CECAIR MERKURI TERMOMETER TUMPAH


Cecair merkuri termometer tumpah


Kuala Pilah - Klinik ibu dan kanak-kanak di Klinik Kesihatan Padang Lebar, Batu Kikir, di sini terpaksa dikosongkan buat sementara waktu berikutan berlaku tumpahan cecair merkuri daripada alat termometer penyukat suhu. 

Menurut sumber, kejadian berlaku jam 11.30 pagi dipercayai berpunca ketika melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap seorang kanak-kanak di klinik ibu dan kanak-kanak.

“Seorang jururawat sedang melakukan pemeriksaan suhu ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun kerana demam.

“Termometer itu diletakkan di bahagian ketiak kanak-kanak berkenaan. Bagaimanapun, kanak-kanak itu agar agresif dan cuba mencapai sesuatu barang hingga menyebabkan termometer yang diletakkan di ketiak terjatuh. 

“Akibatnya, cecair merkuri yang berada di dalam thermometer itu tumpah ke atas lantai klinik tersebut,” katanya.

Namun begitu, tindakan pantas kakitangan klinik itu, telah membersihkan cecair merkuri bagi mengelakkan sebarang perkara buruk berlaku.

“Kakitangan klinik telah membersihkan cecair berkenaan mengikut prosedur ditetapkan sementara menunggu ketibaan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah,” katanya.

Sementara itu, Pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah bergegas ke lokasi setelah menerima panggilan kecemasan pada jam 12.47 tengah hari.

Bagaimanapun, setelah tiba di lokasi, pihaknya terpaksa memohon bantuan dari pasukan khas Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 memandangkan kes tersebut melibatkan cecair berasid.

Difahamkan, pasukan Hazmat dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 yang diketuai Harzizi Hashim serta lapan anggota tiba di lokasi jam 2.15 petang.

Menurut Harzizi, anggotanya mengambil tindakan dengan membuat kutipan terhadap cecair merkuri yang tumpah menggunakan picagari.

“Sisa kutipan cecair merkuri disimpan di tempat khas dan akan dihantar ke Jabatan Alam Sekitar untuk penyelidikan seterusnya dilupuskan,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan bahagian di klinik Kesihatan Padang Lebar disahkan selamat untuk digunakan tepat jam 3.10 petang semalam.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor