Pages

Wednesday, June 15, 2016

JAGA KEBERSIHAN, KUALITI MAKANAN


Jaga kebersihan, kualiti makanan


Labis - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah memeriksa 1,718 premis atau 85 peratus daripada 2,016 premis yang terlibat dengan pembekalan, pemprosesan serta premis jualan bazar Ramadan di negeri ini, pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, daripada jumlah tersebut, 12 premis makanan yang terlibat dalam pembekalan bahan mentah telah diperiksa dan tujuh daripadanya diambil tindakan.

“Bagi 10 premis pembekal ais yang diperiksa, sebanyak empat premis telah diambil tindakan kerana tidak mematuhi Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Keseluruhannya, kebersihan makanan di bazar Ramadan pada tahun lalu berada pada tahap memuaskan.

“Pada tahun ini yang berakhir semalam (kelmarin), tiada kompaun dikeluarkan dan pemeriksaan dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di semua premis dapati peniaga mengamalkan pematuhan penyediaan makanan baik,” katanya selepas melakukan lawatan dan mengedarkan apron kepada peniaga di Bazar Ramadan Labis di Dataran Labis, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Kesihatan Daerah Segamat, Dr Mokhtar Ahmad dan Ketua Whip Majlis Daerah Labis, Mansor Birat.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak hanya menggunakan media sosial sekiranya terbeli makanan yang basi atau rosak, sebaliknya terus membuat laporan ke PKD bagi memudahkan tindakan diambil.

“Peniaga juga perlu sentiasa jaga kebersihan dan tidak menjual semula makanan yang tak habis dijual, bagi memastikan tiada sebarang kes keracunan makanan.

“Orang ramai terutamanya pembeli pula perlu mengamalkan konsep lihat, hidu dan rasa dalam membuat penilaian ringkas sama ada makanan yang dibeli masih elok atau telah basi bagi mengelakkan keracunan makanan,” katanya.

Menurutnya, mana-mana pengendali makanan yang tidak mematuhi Jadual Keempat Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih tempoh dua tahun jika sabit kesalahan.

“Selain pemeriksaan, JKNJ juga giat menjalankan aktiviti promosi berkaitan keselamatan dan kebersihan makanan, sebelum menjelang Ramadan lagi melalui taklimat serta iklan ‘Perhati dan Pilih’ sebelum ini,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor