Pages

Wednesday, June 15, 2016

GADIS BERKORBAN SARA KELUARGA


Gadis berkorban sara keluarga


Johor Bahru - Demi menyara keluarganya, seorang pekerja kilang sanggup melakukan kerja lebih masa setiap bulan semata-mata mahu mencari wang lebih.

Asmah Taib, 59, berkata, anak keduanya, Nur Sakinah, 24, bekerja di kilang berhampiran rumahnya bagi menggalas tugas menyara keluarga berikutan bapanya, Esahak Abdul Hamid, 61, menghidap strok sejak tiga tahun lalu, manakala kakaknya, Nur Saniah, 26, terlantar sakit.

Menurutnya, Nur Saniah mengalami masalah kegagalan buah pinggang dan sawan, kini hanya mampu baring sahaja dan segala keperluan terpaksa diuruskannya, walaupun dia sendiri turut mengalami kegagalan buah pinggang empat tahun lalu dan menjalani rawatan hemodialisis.

"Keluarga saya terima bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tapi digunakan untuk membeli lampin pakai buang Nur Saniah.

"Nur Saniah hanya bergantung dengan bekalan susu dan perbelanjaannya mencecah RM300 sebulan.

"Jadi bagi memastikan bekalannya tak terputus, Nur Sakinah sanggup tak bercuti dan memohon bekerja lebih masa termasuk hujung minggu.

"Hanya dengan cara itu, dia yang bekerja sebagai operator kilang mampu mendapatkan gaji RM900 dan sebahagian pendapatannya digunakan untuk tampung perbelanjaan dapur serta perubatan suami," katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Persatuan Prihatin Kempas, Salim Daud; Pengurus Operasi Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam; Pegawai JKM Johor Bahru, Manayi Ibrahim dan Yang Dipertua Badan Kebajikan dan Sosial Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri, Zaidi Juhari di rumahnya di Taman Sinaran Kempas, di sini.

Pada lawatan itu, keluarga terbabit menerima bantuan berupa barangan keperluan harian bernilai RM350 dari Pasaraya Econsave serta Badan Kebajikan dan Sosial Perkeso negeri, serta duit raya untuk meringankan beban mereka sepanjang Ramadan ini.

Ibu tiga anak ini berkata, dia menjalani rawatan hemodialisis yang dibiayai Baitulmal, berjumlah RM2,800 setiap bulan.

"Suami saya sebelum ini bekerja sebagai tukang kayu dengan anggaran pendapatan RM300. 

"Bagaimanapun, dia terpaksa berhenti kerja sejak tiga tahun akibat diserang strok kerana tekanan darah tinggi," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu keluarga terbabit boleh menghubungi talian 016-7608224.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor