Seorang pelajar sekolah antara 12 individu yang ditahan dalam operasi gempur Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit (JSJN) di Felda Mempaga setelah mendapat aduan daripada penduduk di situ.
Ketua Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, pelajar sekolah yang berumur 14 tahun itu didapati negatif dadah dan telah ditangkap di sebuah rumah di Felda Mempaga.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut seramai tiga lelaki yang berumur antara 14 hingga 56 tahun ditangkap positif dadah manakala sembilan lelaki termasuk dua warga Indonesia disahkan negatif bahan terlarang itu.
“Setibanya kami di tempat kejadian, mereka nekad untuk melarikan diri setelah kami memperkenalkan diri sebagai anggota polis namun hasrat itu tidak berjaya kerana kami telah mengepung rumah ini.
“Hasil pemeriksaan di dalam dan di luar rumah, kami menjumpai 40 paket plastik yang disyaki air ketum dan satu tong besar yang berisi cecair kehijauan yang disyaki juga air ketum serta longgokkan besar daum ketum seberat 25 kilogram di atas lantai di dalam bilik rumah tersebut, “katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pagi tadi.
Sehubungan itu, Mansor berkata siasatan awal mendapati kesemua suspek yang ditangkap mengaku kerap kali mendapatkan bekalan air dan daun ketum daripada pemilik rumah tersebut.
“Rumah tersebut juga dijadikan tempat untuk memproses air ketum untuk dijual di kalangan penduduk dengan harga RM10 sehingga RM20 untuk satu paket plastik air ketum. Suspek dipercayai mendapatkan bekalan daun ketum itu di kawasan lain dengan harga RM23 sekilogram.
Beliau berkata, operasi yang bermula jam 10 malam dan berakhir pada jam 5 pagi itu akan diteruskan lagi di masa akan datang dengan tumpuan di tanah-tanah rancangan Felda di daerah Bentong ini.
Katanya lagi, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan kes ini masih dalam siasatan lanjutan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor