Pages

Friday, April 1, 2016

JABATAN PENDIDIKAN SELANGOR DIARAH AMBIL TINDAKAN


Mahdzir Khalid


Bukit Mertajam - Jabatan Pendidikan Negeri Selangor diarah mengambil tindakan lanjut susulan siasatan polis mendapati tiadanya unsur buli dalam insiden seorang murid Tahun Dua mendakwa dipaksa memotong lidahnya pada 24 Mac lepas.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementerian menyerahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk mengambil tindakan sewajarnya sama ada memanggil guru besar dan ibu bapa murid itu.

"...kita fikir ada orang yang buli murid, sebab itu kita nak ambil tindakan. Tetapi, sekarang (kita dimaklumkan) dia buat (potong lidahnya) sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Sekolah Bebas Dadah Parlimen Permatang Pauh di Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkuang di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat bahawa siasatan lengkap pihaknya mendapati murid lelaki terbabit tergunting lidahnya ketika sedang leka bermain dengan gunting tajam itu yang dipinjam daripada rakan sekelasnya.

Sehubungan itu, katanya, kes itu dianggap selesai kerana murid berkenaan bukannya dibuli sebaliknya mengalami kecederaan itu akibat kecuaian sendiri.

Ditanya sama ada Kementerian Pendidikan akan mengetatkan penggunaan alat tajam di sekolah, Mahdzir berkata perkara itu tidak perlu dijadikan sebagai pekeliling namun, pihak sekolah perlu sentiasa menjaga dan memantau keselamatan murid-murid.

"Sekolah kena tengok keselamatan...kenapa murid bawa gunting ke sekolah. Kalau tak perlu, kita jangan benarkan murid bawa ke sekolah," katanya.

Pada Khamis lepas, Muhammad Alif Shukran Alias, 8, mendakwa dipaksa memotong

lidahnya sendiri oleh sekumpulan lima murid Tahun Tiga dari sekolah sama.

Akibat kejadian itu, lidah mangsa terputus sedikit di bahagian hujungnya dan terpaksa dijahit.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor