Pages

Thursday, March 31, 2016

SYARIKAT CEROBOH CAMERON HIGHLANDS DISENARAI HITAM


Shahidan Kassim


Kira-kira 20 syarikat yang dikenal pasti terlibat dalam penerokaan tanah secara haram di sini berdepan tindakan disenarai hitam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Shahidan yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu berkata pihaknya akan mencadangkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) agar pemilik entiti berkenaan disenarai hitam daripada menubuhkan syarikat baharu pada masa depan.

"Kami juga akan minta SSM halang mereka daripada menjadi pengarah dalam mana-mana syarikat," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan di kawasan yang pernah diceroboh di hutan simpan Bukit Jerut dan Sungai Kial, Tringkap di sini hari ini.

Katanya, semua syarikat itu dikenal pasti menerusi Ops Gading Fasa Satu yang dikelolakan MKN pada 2014 bertujuan membasmi kegiatan penerokaan tanah secara haram dan kebanjiran pendatang asing tanpa izin di sini.

Katanya Ops Gading juga telah mengenal pasti kira-kira 100 peneroka haram yang sebahagiannya merupakan pendatang asing tanpa izin (Pati) melakukan pencerobohan hutan dan tanah di kawasan tanah tinggi itu.

"Siasatan sedang dijalankan dan jika didapati bersalah semua aset peneroka itu akan dirampas, manakala punca air dan elektrik diputuskan. Sekiranya peneroka ini didapati menggaji pekerja asing tanpa izin, mereka berdepan tindakan mahkamah," katanya.

Shahidan berkata pelaksanaan Ops Gading Fasa Dua akan bermula April ini setelah pemantauan dilakukan sejak Mac dengan melibatkan pelbagai jabatan dan agensi termasuk MKN, dengan memberi tumpuan kepada kawasan seluas 364.2 hektar.

"Kawasan ini (364.2 hektar) adalah baki 25 peratus daripada 2,023 hektar kawasan yang terlibat semasa Ops Gading Fasa Satu yang dihentikan seketika pada 2015," katanya.

Katanya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highland pada 12 April depan bagi membincangkan strategi menangani sebarang pencerobohan pada masa akan datang.

Sementara itu, mengenai pencerobohan nelayan asing di kawasan Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) Malaysia, Shahidan berkata nelayan berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perikanan 1985.

Katanya Malaysia tidak melarang sebarang kapal asing untuk melalui kawasan perairan negara, namun tindakan menangkap ikan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor