Tangkak - “Saya panik apabila air naik dengan begitu deras sehingga ada beberapa barang yang tak sempat diselamatkan,” kata mangsa banjir, Juriah Sumarthi, 40.
Menurutnya, dia tidak menyangka hujan lebat sejak malam tadi (kelmarin) menyebabkan kediamannya dinaiki air dengan cepat.
“Saya terjaga dalam jam 6.30 pagi dan lihat air mulai melimpah dalam rumah. Saya bersama suami segera menyelamatkan barang dan dokumen penting. Lebih kurang 8.30 pagi, air telah sampai ke paras lutut,” katanya.
Cerita Juriah, ketika kejadian kesemua anaknya sedang tidur dan dia bersyukur keadaan terkawal selain semua keluarganya selamat.
Bagi penduduk, Mariati Othman, 38, banjir di situ adalah perkara biasa baginya dan dia sudah lali berhadapan dengan kejadian tersebut.
“Persediaan memang dah buat dari awal kerana setiap kali banjir pastinya rumah saya yang akan sering dinaiki air dahulu berbanding penduduk lain.
“Walaupun agak terkejut kerana air melimpah dengan cepat tapi saya dapat kawal seperti tahun-tahun yang lalu. Bagaimanapun, ada beberapa perkakas elektrik tak sempat diselamatkan,” katanya.
Kelmarin, banjir di Tangkak telah menjejaskan Kampung Seberang Gajah, Kampung Sialang Dalam dan Kampung Sri Makmur.
Sehingga jam 1 tengah hari semalam, seramai 59 penduduk dari 12 keluarga diarah berpindah ke pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan (SK) Sialang, di sini selepas kediaman mereka dinaiki air.
Pegawai JPAM Daerah Ledang, Mohd Shahrizan Abd Aziz berkata, 59 mangsa tersebut terdiri daripada 34 dewasa, kanak-kanak (15), warga emas (5), OKU (1) dan bayi (4).
“Semua keluarga tersebut mula berpindah sejak jam 6 petang semalam (kelmarin). Mereka berada dalam keadaan selamat dan sihat.
“Cuma seorang mangsa warga emas dirujuk ke Hospital Tangkak untuk menjalani pemeriksaan kesihatan kerana mempunyai rekod sakit jantung, namun dia berada dalam keadaan sihat,” katanya.
Beliau berkata, semua bekalan makanan serta keperluan asas untuk mangsa mencukupi selain beberapa kelengkapan sudah disediakan.
“Kami sudah menyediakan pelbagai kelengkapan dan mendapat kerjasama semua pihak termasuk JPAM yang memindahkan mangsa,” katanya.
“Pihak terlibat sedang memantau kejadian itu termasuk membuat rondaan di kawasan sekitar sekiranya berlaku banjir kerana cuaca masih hujan,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor