Pages

Monday, February 8, 2016

SIAPA SEBENARNYA MONYET?


RIDHUAN TEE ABDULLAH


Artikel ini disiarkan pada Tahun Baharu Cina, Tahun Monyet. Binatang kesembilan dalam senarai susunan zodiak Cina. Sebagai orang Islam, tidak sepatutnya kita percaya kepada ramalan zodiak. Namun, tidak salah mengambil pengajaran.

Pepatah Cina berkaitan monyet berbunyi; semakin tinggi monyet memanjat, semakin terserlahlah punggungnya (bahagian sulit). Bermaksud, jika berusaha bersungguh-sungguh, menggunakan segala tenaga dan bakat, yakinlah kejayaan pasti akan datang. Kata-kata ini dipegang orang Cina. 

Tamadun Cina kaya dengan kata-kata hikmah sebegini, dalam menjalani kehidupan. Setiap tahun, binatang silih berganti, ada sahaja keistimewaan masing-masing. Mereka amat percaya, dan berusaha ke arah itu. Pendek kata, teori dipraktikkan. 

Kata-kata hikmah Melayu tidak kurang hebatnya. Tetapi lebih teori daripada praktik. Memilih yang negatif daripada positif. Misalnya, yang bulat takkan datang menggolek, yang pipih takkan datang melayang. Praktiknya, kita lebih kepada menanti yang bulat datang menggolek, yang pipih datang melayang. Isu bauksit sebagai contoh. Berapa ramai lagi pegawai pejabat tanah akan didakwa? 

Sebab itu, janganlah kita dengki jika orang lain berjaya sehingga menjadi ultra kiasu. Mereka tidak jemu berusaha. Sejarah membuktikan, bermula penghijrahan, mereka datang dengan sehelai sepinggang. Hari ini, harta keliling pinggang. Pasal apa? Mereka berusaha, tidak bersengketa sesama sendiri. Inilah iktibar Tahun Monyet. 

Pertama, dari sudut kerjaya. Monyet sentiasa mencari peluang baharu dan berusaha menerokai peluang tersebut hingga berjaya serta mendapat hasil lumayan. Tidak takut dalam mengutarakan idea, kritikan dan pandangan selagi itu baik untuk menunjang karier. Kita asyik tikam-menikam sesama sendiri, juga dalam organisasi dan parti. 

Kedua, kasih sayang monyet. Monyet amat mementingkan kasih sayang dalam kalangan mereka. Lompatlah setinggi mana pun, anak yang dikendung tidak akan terlepas. Inilah ikatan orang Cina, hubungan kasih sayang sebangsa yang kuat dan sentiasa diperbaharui.

Tidak seperti kita, bergaduh tiada penghujung. Apatah lagi apabila Amanah mengeluarkan kenyataan sesiapa (Pas) yang bekerjasama dengan Umno, adalah musuh mereka. Umno lebih bahaya daripada ultra kiasu. Sanggup menolak saudara seagama. Kesesatan apakah ini? 

Ketiga, ekonomi monyet. Monyet sentiasa meninjau dan memperbaiki strategi ekonomi masa lalu berhadapan dengan masa kini. Terus aktif dan pro-aktif mengejar peluang. Mereka akan cuba menghindari perkara yang boleh merosakkan seperti provokasi. Mereka tidak mengejar populariti dan berpolitik bodoh seperti kita. Maka tidak hairan jika kekayaan mereka melimpah ruah. Kita pantang kaya sedikit, berlagak sana sini. Sibuk tunjuk kekayaan. 

Keempat, kesihatan monyet. Monyet sentiasa menjaga kesihatan agar panjang umur, murah rezeki (huat cai). Paling baik meninggalkan perbuatan yang mengakibatkan ketagihan seperti minum arak dan merokok, termasuk vape. Rehat dan tidur yang cukup.

Bukan seperti kita isu rokok dan vape tidak pernah selesai. Fatwa kata vape haram, Kabinet kata tidak. Peliknya, rokok tidak haram pula. Apa sebenarnya kita ini? Sedangkan dalam Islam, yang haram jelas, yang halal juga jelas. 

Kelima, jauh berjalan luas pemandangan. Tahun Monyet sangat baik untuk berjalan bagi mendapatkan pengalaman dan memperluaskan lingkaran sosial. Bukan sekadar berjalan. Kita sibuk melancong ke sana ke mari, Makkah tidak pernah dijejaki. Yang pergi ke Makkah, balik sibuk bertaubat, esok buat maksiat. Taubat apakah ini?

Keenam, sosial monyet. Menjaga kemuliaan akhlak dan rendah diri. Fokus lebih membantu orang lain yang memerlukan. Saling tolong menolong. Itulah fong shui. Ada keluar, ada masuk. Kita bagaimana? 

Kisah dongeng monyet patut dijadikan teladan oleh kita semula. Penjual songkok tertidur di sebatang pokok. Melihat penjual itu sudah tidur, monyet pun turun dan mengambil semua songkoknya. Monyet sungguh gembira dan kelihatan seperti tidak tahu apa yang hendak dilakukan.

Ada yang membelek-belek, ada yang meletakkan di kepala, ada yang membaling semula.

Bila terjaga, penjual songkok panik, kerana semua songkok telah diambil monyet. Kecuali ada beberapa yang terjatuh. Penjual songkok berfikir bagaimana mendapatkan semula songkoknya. Sambil berfikir, dia melambung-lambung songkok.

Perbuatannya itu diperhatikan oleh monyet. Kemudian monyet meniru apa yang sedang dilakukan oleh penjual tadi. Songkok-songkok itu dilambungkan. Sekali lambung saja, semua songkok itu jatuh. Penjual songkok segera memungut songkok, lalu beredar pergi.

Rupanya, orang lain sibuk mengambil iktibar Tahun Monyet, tetapi kita meniru perangai monyet. Malang sungguh! Selamat menyambut Tahun Monyet.

* Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Felo Utama, INSPIRE dan pensyarah PPI, UniSZA

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor