Pages

Monday, February 8, 2016

AWAS, ANGGOTA JPJ MENYAMAR


Awas, anggota JPJ menyamar


Johor Bahru - Anggota Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri mengambil inisiatif membuat penyamaran untuk mengesan kesalahan pemandu kenderaan termasuk pemandu bas ekspres sepanjang Operasi Khas Musim Perayaan Tahun Baharu Cina.

Pengarah JPJ negeri, Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, tindakan anggota JPJ yang menyamar sebagai penumpang bas ekspres mendapati dua daripada 16 bas yang dinaiki melakukan kesalahan memotong di garisan berkembar dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Menurutnya, penyamaran bergambar oleh anggota JPJ yang tidak memakai uniform turut berjaya mengesan tujuh kesalahan utama dilakukan pemandu dan pengguna jalan raya antaranya gagal mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan dan tidak memakai topi keledar.

“Kita juga menjalankan pemeriksaan bas ekspres di depoh syarikat bas bagi Johor Bahru dan Muar, selain pemeriksaan di dua terminal pengangkutan awam di Larkin dan Bentayan, Muar.

“Selain itu, kita turut mengadakan rondaan penguatkuasaan di lebuh raya dan jalan utama negeri bersama polis, menjalankan operasi khas motosikal dan turut menerima aduan menerusi aduantrafik@jpj.gov.my,” katanya.

Mohd Rusdi berkata, sebanyak 785 notis saman dikeluarkan sepanjang enam hari Operasi Khas Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2016 yang bermula pada 1 Februari lalu.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, sebanyak 2,009 kenderaan termasuk bas ekspres diperiksa dalam operasi berkenaan.

“Antara kesalahan dilakukan pesalah trafik ini, tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM), cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan lebih muatan.

“Kita berharap dengan pelaksanaan operasi khas itu yang turut disertai beberapa agensi keselamatan lain dapat mencapai objektif, bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian bersempena musim perayaan,” katanya.

Katanya, beberapa pendekatan dilakukan pihaknya sepanjang operasi khas berkenaan yang akan berakhir pada 16 Februari ini antaranya kempen keselamatan jalan raya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Machap bersama ahli Skuad Muda 1JPJ (SM1JPJ).


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor