Pages

Thursday, January 21, 2016

TERSENTUH HATI DENGAR AZAN SUBUH


Tersentuh hati dengar azan Subuh


Johor Bahru - Seorang penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Johor Bahru, di sini, mengakui terpikat memeluk Islam selepas beberapa bulan tinggal di rumah kebajikan itu, sebelum mengambil keputusan menukar agama.

Menurut Abdul Rahim Abdullah, 70, hatinya sentiasa tersentuh setiap kali mendengar azan Subuh, lebih-lebih lagi melihat rakan yang lain membaca al-Quran, sekali gus menguatkan lagi keinginannya mempelajari Islam.

“Saya akui lebih tenang ketika tinggal di sini, malah hubungan bersama penghuni lain bagaikan sebuah keluarga besar. Mereka sentiasa membantu apabila saya ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Islam.

“Ketika saya beritahu mahu peluk Islam, rakan-rakan amat gembira. Saya turut maklumkan hasrat saya ini kepada seorang ustaz dan selepas hampir setahun bergelar saudara baharu, ternyata kehidupan saya lebih baik berbanding dahulu.

“Walaupun tiada pertalian persaudaraan, hubungan kami amat akrab, malah kakitangan di RSK amat mengambil berat termasuk keadaan kesihatan semua penghuni di sini. Ternyata ia berbeza dengan apa yang saya lalui dahulu,” katanya pada Program Riadah Boling bersama warga RSK di Danga City Mall di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pelawat RSK Johor Bahru.

Sementara itu, Pembantu Hal Ehwal Islam RSK Johor Bahru, Mohd Khalid Sujud berkata, dia antara yang terawal dimaklumkan Abdul Rahim mengenai hasrat memeluk Islam.

“Saya bersyukur pakcik Abdul Rahim diberikan hidayah memeluk Islam. Saya sedar dia sering perhati rakan Muslim menjalankan aktiviti keagamaan,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor