Pasir Gudang - “Saya selalu pujuk anak-anak dengan beritahu papa pergi syurga setiap kali mereka bertanya di mana papa mereka dan nasihatkan mereka baca al-Fatihah jika terlalu rindu,” kata Nur Fardhliana Anuar, 34.
Katanya lagi, dia sendiri sukar menerima hakikat arwah suaminya telah pergi buat selama-lamanya selepas terlibat kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Tanjung Langsat, Mei tahun lalu.
Menurutnya, lebih mengganggu emosinya setiap kali anak bongsu, Farha Ranniyah Mohd Riduan berusia setahun, demam dan anak kedua, Marissa Raiqah, 5, mengadu kerap diejek rakan di sekolah kerana tiada bapa.
“Pernah selepas tiga bulan suami meninggal, saya dail nombor telefon arwah kerana begitu panik anak yang bongsu menangis akibat demam.
“Saya pujuk anak-anak perlahan-lahan, beritahu papa mereka sudah meninggal dunia dan pergi ke syurga, tapi kadang-kala hati saya tak kuat berdepan situasi ini kerana sebelum ini dalam segala perkara kami sentiasa bersama,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Taman Mawar, di sini, semalam.
Nur Fardhliana berkata, uniform polis bantuan dan topi keledar yang dipakai arwah suaminya ketika kemalangan disimpan bagi melepaskan rindu, dan menjadi kekuatannya menjaga anak-anak.
Menurutnya, kehidupan mereka empat beranak berubah ketara selepas kehilangan tonggak utama yang selama ini menyara keluarga.
“Saya berjimat bayar rumah yang kami beli ini, lebih RM400 sebulan dengan duit Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bulanan yang diperoleh berjumlah RM700.
“Saya tak mampu buat apa-apa, selain harapkan bantuan keluarga kerana anak-anak masih kecil walaupun ada keinginan untuk mencari rezeki.
“Anak sulung, Nur Farriza, 8, sudah faham dengan ketiadaan papanya. Saya sentiasa jadikan pengalaman hidup ini ingatan untuk mereka supaya belajar bersungguh-sungguh agar berjaya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor