Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengesahkan tidak ada perbincangan dilakukan dengan jutawan Bumiputera, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary berhubung tajaan RM35 juta kepada pasukan itu yang kini menjadi viral di media sosial.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, tiada sebarang pertemuan dilakukan antara KFA dengan tokoh korporat terbabit setakat ini.
Beliau juga terkejut dengan penyebaran berita tersebut yang kini popular di laman media sosial.
“Saya pun tak pasti dari mana datang berita itu, agaknya ada pihak yang ‘spin’ melalui media sosial tapi ingin saya jelaskan di sini, perkara itu tidak berbangkit kerana kita tak pernah berbincang dengan pihak beliau. Kisah viral itu tidak benar,” katanya selepas menghadiri program santai bersama pengurusan dan pemain skuad Piala Belia bawah 19 tahun Kedah di Bendang Kitchen, kelmarin.
Bagaimanapun menurut Mukhriz, Hijau Kuning mampu memberi pulangan kepada setiap penaja dan beliau yakin banyak syarikat swasta yang berminat untuk menaja pasukan itu.
Katanya, sokongan penyokong Kedah yang semakin meningkat termasuk kehadiran puluhan ribu ke Stadium Darul Aman pada setiap perlawanan musim lalu membuktikan pasukan kembali menjadi perhatian selepas muncul juara Liga Premier dan naib juara Piala Malaysia.
“Setakat ini, kita boleh memenuhkan Stadium Darul Aman setiap kali ada perlawanan di laman sendiri iaitu mencapai kehadiran penyokong sekitar 23,000 orang.
“Jadi bayangkanlah kalau ada produk yang memang sasarannya adalah penonton-penonton kita dan jika pihak terbabit merasakan sesuai, syarikat macam itu sangat kita alu-alukan, silalah berhubung dengan pihak kami,” katanya.
Mukhriz berkata, bagi menghadapi saingan liga Malaysia musim ini, KFA menerima sumbangan tajaan daripada kerajaan negeri dan anak syarikat kerajaan negeri, GLC serta beberapa syarikat swasta melibatkan tajaan berjumlah berbelas juta ringgit.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor