Kuala Terengganu - Kerajaan Negeri Terengganu tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu dari negeri ini yang terlibat dalam aktiviti militan di luar negara.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya juga sedia bekerjasama dalam siasatan yang dijalankan berhubung perkara itu.
“Sekiranya didapati bersalah, kita akan bersetuju tindakan diambil terhadap pihak terlibat, malah di Terengganu kita sedia memberi kerjasama untuk kenal pasti dan memantau gerakan subversif yang dijalankan termasuk ajaran agama sesat dan sebagainya,” katanya selepas Majlis Ucap Tama Negeri dan Anugerah Perkhidmatan Awam 2016, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Razif menasihatkan pelajar dari negeri ini terutama di bawah tajaan kerajaan negeri beri tumpuan penuh kepada pembelajaran dan tidak mensia-siakan kehidupan mereka.
Beliau berkata, pinjaman akan dihentikan terutama pelajar di bawah tajaan kerajaan negeri sekiranya didapati ada yang terlibat dalam aktiviti kumpulan militan.
“Dalam hal ini, kita tak akan kompromi terutama pelajar di bawah tajaan kita (Yayasan Terengganu), kita akan bertindak tegas termasuk membatalkan pinjaman yang telah kita berikan kepada pelajar yang didapati terlibat dengan gerakan sebegini.
“Bagaimanapun, setakat ini kita dapati tiada pelajar kita yang terlibat dalam hal ini,” katanya.
Terdahulu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Keganasan, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan mengesahkan dua pengebom berani mati IS Malaysia terlibat membunuh lebih 30 orang dalam dua serangan berasingan di Syria dan Iraq minggu lepas.
Dalam laporan akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times (NST), Mohd Amirul Ahmad Rahim dari Terengganu, meletupkan bom yang diletakkan di dalam keretanya semasa perbalahan di kubu kuat Isis, Raqqa, pada 29 Disember sehingga membunuh 21 pejuang Kurds.
Manakala, seorang lagi rakyat Malaysia, Mohamad Syazwan Salim meletupkan jaket yang dipadatkan dengan bom bersama beberapa lagi pengebom berani mati, berdekatan pusat latihan polis di pangkalan tentera Speicher di Tikrit, Iraq, 3 Januari lalu.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor