Pages

Saturday, November 14, 2015

[ROMPIN] PELAJAR UMP MAUT KERETA JATUH GAUNG


Pelajar UMP maut kereta jatuh gaung


Dua maut termasuk seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas jatuh ke dalam gaung di Kilometer 160 Jalan Kuantan - Seremban sekitar jam 2.30 petang, kelmarin.

Pemandu kenderaan dikenali sebagai Shahrizal Ujang, 29, yang bekerja sebagai konduktor bas dan berasal dari Felda Pasoh 3 manakala penumpang yang turut maut dikenali sebagai Nur Asyikin Abdullah, 22, yang merupakan pelajar UMP yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, mangsa menaiki kereta Proton Saga BLM dan siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Seremban.

“Hasil siasatan awal juga mendapati pemandu dan penumpang dipercayai memakai tali pinggang keledar namun pemandu tidak mempunyai lesen memandu.

“Punca kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dinaiki mangsa hilang kawalan lalu terbabas jatuh ke dalam gaung sebelah kiri menuju ke Seremban. Kedua-duanya maut akibat cedera parah di kepala dan mayat dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat,” katanya kepada Sinar Harian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor