Georgetown - Seorang kru feri Pulau Pinang berusia 38 tahun patah tulang rusuk dan cedera di muka selepas dibelasah oleh sekumpulan remaja lelaki akibat salah faham, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner, Mior Faridalatrash Wahid berkata, kejadian berlaku apabila mangsa meminta kira-kira 11 remaja berkenaan beredar dari pintu dek feri yang akan berlabuh di Terminal Feri Raja Tun Uda.
“Kru feri itu memberitahu mereka agar beredar dari tempat berkenaan kerana ingin membuka pintu dek (tetapi) dia tiba-tiba ditolak dari arah belakang dan badannya terkena seorang daripada mereka.
“Kumpulan lelaki terbabit bertindak kasar dengan memukul kru feri beramai-ramai menggunakan topi keledar,” katanya semalam.
Mior Faridalatrash berkata kru feri berkenaan cuba menyelamatkan diri dengan berlari ke bilik pegawai bertugas tetapi kumpulan lelaki terbabit mengejarnya serta terus memukul kru feri berkenaan.
“Ketika kejadian terdapat orang awam yang melihat kejadian itu tetapi tidak mempedulikannya atau cuba membantu...kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara kru feri itu dengan seorang daripada lelaki terbabit,” katanya.
Beliau berkata kru feri itu tidak dapat mengecam lelaki yang menyerangnya dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor