Pages

Saturday, November 14, 2015

KERANDA TOK WAN TERBANG JANJI KELAINAN


Keranda Tok Wan Terbang janji kelainan


Dalam sebuah kampung, tinggal seorang bomoh dipanggil Mak Betong yang dipercayai membela saka. Namun, suatu hari bomoh tersebut meninggal dunia dan berlaku kekecohan dari malam bomoh itu meninggal sehinggalah jenazah mahu dikebumikan.

Pelbagai kejadian yang berlaku turut dikaitkan dengan si penggali kubur bernama Tok Wan.

Tok Wan mempunyai penyakit pelupa sehingga wujudnya keranda terbang yang menjadi tajuk filem arahan pengarah Hashim Rejab ini.

Filem yang mempersembahkan genre seram dan komedi, Keranda Tok Wan Terbang, terbitan Metrowealth Pictures (MIG), ini bakal menemui penonton pada 10 Disember depan.

Hashim Rejab yang sudah mengarahkan tiga filem seram komedi sebelum ini mengakui filemnya kali ini ada perbezaan daripada filem yang sedia ada. Jelasnya, yang paling berbeza adalah penggunaan watak yang ramai untuk filem tersebut apabila melibatkan penceritaan di sebuah kampung.

“Oleh kerana kita menceritakan satu kejadian di sebuah kampung, jadi memang ramai watak perlu kita gunakan bagi mempersembahkan penceritaan yang menarik kepada penonton.

“Sebelum ini, filem saya yang berjudul Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa hanya melibatkan watak yang sedikit kerana lokasi pun di dalam rumah sahaja.

“Lagi satu filem saya berjudul Hantu Bungkus Ikat Tepi juga menggunakan watak yang sedikit. Justeru, filem kali ini saya memerlukan watak yang lebih ramai,” katanya.

Pastinya watak yang ramai juga akan menimbulkan satu cabaran baru bagi pengarah ini dari segi cara pengurusannya dan permainan watak yang perlu dijayakan.

“Memang sedikit mencabar apabila kita menggunakan ramai watak. Namun, pelakon yang kami pilih semuanya otai-otai belaka dalam lakonan mereka dan berpengalaman baik genre seram dan komedi.

“Oleh itu, segala kerisauan tentang watak setiap pelakon dapat dilakukan sebaiknya tanpa ada masalah besar,” katanya.

Berkongsi pula perihal dialog apabila melibatkan ramai pelakon berpengalaman, Hashim berkata, filem ini tidak terikat dengan skrip semata-mata dan bebas melantunkan dialog secara spontan.

“Memang sebagai pelakon otai, mereka sudah tahu jalan ceritanya dan ada kalanya ketika penggambaran, mereka terasa mahu menambah dialog, maka kita akan gunakannya jika bersesuaian.

“Namun, jika dialog itu nampak seperti berlebihan, kita tidak gunakannya. Semua itu melalui perbincangan terlebih dahulu agar penghasilan filem bukan untuk syok sendiri sahaja. Biasalah, ada kalanya ketika kita buat filem komedi dan seram, ada lawak yang kita rasa sudah kelakar, namun apabila penonton luar lihat, tidak seperti apa kita gambarkan, itu yang perlu kita lihat betul-betul kerana filem ini ada dua genre iaitu seram dan komedi,” katanya.

Filem ini menampilkan barisan pelakon seperti Yassin Yahya, Syuk SYJ, Rahim R2, Mak Jah, Syima Anuar dan Epy Kodiang.


Pilih pelawak terkenal

Menjalankan penggambaran di Sijangkang dan Kuala Lumpur selama 20 hari pada Februari lalu, Hashim memberitahu, idea filem ini tercetus hasil perbincangan dengan pihak produksi.

“Daripada idea seorang pihak produksi, idea itu dikembangkan dengan perbincangan penulis skrip dan brainstorming bagi menambah jalan cerita.

“Akhirnya dari idea dan konsep yang kecil menjadi satu naskhah filem yang pastinya merancakkan lagi industri filem tanah air,” katanya.

Setelah terhasilnya skrip, Hashim berkata, langkah seterusnya adalah pemilihan pelakon untuk menggerakkan skrip menjadi satu cerita yang baik.

“Pelakon pastinya kami memilih yang sinonim dengan watak komedi antaranya sudah dalam senarai awal adalah Yassin dan Syuk SYJ.

“Kemudian, kami mencari lagi pelakon yang sesuai untuk membawakan watak sebagai Tok Wan, Mak Betong dan akhirnya kami memilih Rahim R2 dan Mak Jah untuk membawakan dua watak tersebut.

“Alhamdulillah pelakon yang dipilih memberikan komitmen sangat baik dan bekerjasama dalam membawakan watak diinginkan,” katanya.


Puji penduduk Sijangkang

Berkongsi juga mengenai pemilihan lokasi iaitu Sijangkang, Hashim berkata, pemilihannya berdasarkan hubungan yang baik sudah terjalin dengan penduduk kampung tersebut sebelum ini.

“Oleh kerana filem ini berkaitan dengan satu kampung, jadi kami memilih Kampung Sijangkang. Pemilihannya juga kerana penduduknya sudah kami kenali ketika penggambaran sebuah telefilem sebelum ini.

“Apabila sudah kenal, penduduk pastinya faham dengan konsep penggambaran sesebuah filem yang akan menggunakan waktu malam sehingga subuh dengan jerit pekik dan bunyi bising untuk mendapatkan jalan cerita diingini.

“Jika kita guna kampung lain yang tidak mengenali kita, mungkin ada antara mereka tidak selesa dengan kehadiran kita yang melakukan penggambaran dari lewat malam hingga awal pagi.

“Biasalah buat filem seram komedi pasti ada babak, menjerit, bising dan ketawa yang mungkin mengganggu sedikit waktu malam penduduk kampung,” katanya.


Filem seram terbaik?

Filem yang dianggarkan menelan kos RM1 juta dalam pembikinannya itu juga diharap akan mendapat sambutan hangat daripada penonton.

Hashim berkata, memang dia mengetahui situasi sambutan filem kebelakangan ini sedikit suram, namun dia masih punyai keyakinan yang filem tersebut punyai kekuatan untuk menarik penonton menontonnya.

"Baru-baru ini filem Polis Evo telah cetus fenomena semula sambutan penonton ke wayang, jadi ia memberikan kita sedikit harapan untuk filem yang lain juga turut mendapat sambutan.

"Tetapi pastinya, penonton mahu menonton filem yang ada kualiti dan pembikinannya yang memenuhi kehendak daripada mereka.

"Justeru itu, di harap dengan segala kerja keras yang 100 peratus kami berikan untuk menghasilkan filem terbaik dalam filem saya kali ini, kami harap penonton dapat menontonnya dan merasai keseronokannya," katanya.

Sebagai pengarah, dia turut melakukan promosi menerusi segala medium termasuk laman sosialnya sendiri.

"Pihak penerbit punyai perancangan sendiri untuk mempromosikan filem ini yang saya ketahui baru dimulakan mereka.

"Apa yang saya boleh bantu sebagai pengarah pula, adalah promosi di dalam media sosial saya sendiri mengenai filem ini dan alhamdulillah sambutannya sangat baik.

"Begitu juga dengan krew yang lain dan pelakon sendiri, pastinya di pihak mereka akan mempromosikan filem ini dengan cara masing-masing," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor