Pages

Wednesday, November 18, 2015

DEWAN RAKYAT: BOLEH GUNA BAHASA ASING, TAPI...


Datuk Seri Azalina Othman Said



Kuala Lumpur - Isu penggunaan bahasa kebangsaan dalam Dewan Rakyat adalah tertakluk di bawah Akta Bahasa Kebangsaan 1957 dan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, penggunaan bahasa Inggeris atau bahasa selain bahasa kebangsaan oleh mana-mana ahli Parlimen ketika mengambil bahagian berucap dan berbahas di Dewan Rakyat boleh dilakukan dengan kebenaran atau keizinan Yang Dipertua Dewan Rakyat sahaja.

"Perkara ini jelas di bawah Peraturan Mesyuarat 8 iaitu bahasa rasmi majlis ialah Bahasa Malaysia tetapi Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh membenarkan penggunaan Bahasa Inggeris oleh ahli Parlimen," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Terdahulu ketika membahas usul tersebut, Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) mengemukakan soal hak ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk berucap dalam Bahasa Inggeris di Dewan Rakyat, sehingga menimbulkan kekecohan dan pertikaman lidah dengan beberapa anggota Parlimen lain.

Dalam pada itu Azalina berkata, segala cadangan bagi penambahbaikan dan agenda reformasi terhadap urusan yang dijalankan di Parlimen akan dibawa kepada Jawatankuasa Parlimen untuk dibincangkan.

"Apa-apa cadangan dan pandangan yang perlu dikemukakan sebagai pendekatan inovasi di Parlimen perlu dibawa kepada wakil-wakil parti politik yang ada dan mereka akan bawa ke pihak jawatankuasa untuk dibincangkan," katanya.

Menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang membangkitkan isu bilangan wakil media membuat liputan persidangan yang kini dihadkan, Azalina berkata semua keputusan berkaitan wakil media yang dibenarkan membuat liputan di Parlimen adalah termaktub dalam Peraturan Mesyuarat.

"Pihak pengurusan Parlimen ambil maklum akan perkara yang dibangkitkan. Walaupun pihak kerajaan menghargai pihak media, keputusan untuk menghadkan kepada tiga orang bagi setiap agensi adalah berikutan kerja-kerja baik pulih dan naik taraf blok utama bangunan Parlimen yang sedang dijalankan," katanya.

Bagaimanapun beliau percaya keputusan berkaitan bilangan wakil media yang membuat liputan akan dilihat semula apabila urusan pengubahsuaian bangunan Parlimen selesai menjelang 2018.

Dalam perkembangan lain, Azalina berkata dakwaan tentang indoktrinasi yang dibawa oleh Biro Tata Negara (BTN) adalah tidak benar kerana biro itu tidak pernah menimbulkan kebencian terhadap agama dan bangsa seperti didakwa.

"Fungsi utama BTN adalah untuk memupuk semangat cintakan negara dan menerapkan nilai-nilai murni serta aspirasi bangsa Malaysia. Dalam kurikulum BTN ada modul ceramah dan elemen semangat patriotisme," tambahnya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor