Pages

Monday, October 12, 2015

SEKALI LAGI BERDEPAN MASALAH BANJIR


Sekali lagi berdepan masalah banjir


Kepala Batas - Tujuh rumah di Kampung Simpang Tiga, dekat sini, terjejas selepas air Sungai Padang Terap melimpah ke kawasan rumah mereka sejak malam kelmarin.

Hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan air sungai berkenaan melimpah masuk ke kawasan rumah penduduk.

Khalid Yahya, 60, berkata, dia tidak menyangka kejadian sama berulang kerana baru sahaja dua minggu lalu air melimpah masuk ke dalam rumahnya.

Menurutnya, dia tidak melakukan apa-apa persediaan dan menjelang petang kelmarin air mulai naik hingga masuk ke dalam rumahnya.

"Arus naik dengan cepat ketika menjelang petang, saya terpaksa meminta jiran untuk membantu mengangkat barangan di dalam rumah.

“Saya tak dapat tidur kerana aliran air masuk dengan deras dan sentiasa memantau jika ada binatang berbisa seperti ular dan biawak turut masuk ke dalam rumah.

"Bagaimanapun sehingga kini saya bersyukur kerana belum ada lagi sebarang gangguan dari binatang berbisa,” katanya kepada Sinar Harian semasa membuat tinjauan.

Sementara itu, Rodziah Hassan, 51, pula berkata, dia sekeluarga terkejut dengan aliran air deras yang masuk dari belakang rumahnya hingga tidak dapat selamatkan beberapa barangan.

Katanya, dia tidak menjangka air dari sungai berdekatan itu melimpah lagi selepas hujan lebat pada hari berkenaan.

“Selalunya kawasan Padang Terap akan menghadapi banjir terlebih dahulu sebelum turun ke daerah Pokok Sena ini. Kini kami sekeluarga terpaksa tidur di tingkat atas rumah bagi memantau keadaan paras air yang semakin meningkat," katanya.

Menurut Rodziah, sejak kawasan itu sering dilanda banjir dia sekeluarga tidak pernah lagi membeli perabot kerana bimbang akan rosak setiap kali berdepan masalah banjir.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor