Penubuhan enam Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di daerah Bera ini seharusnya digunakan orang ramai khususnya di kalangan usahawan wanita sebagai medium bagi meningkatkan dan mengembangkan perniagaan mereka.
Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, PI1M yang menyediakan perkhidmatan jalur lebar itu membolehkan mereka memasarkan produk secara atas talian bukan sahaja untuk dipasarkan di dalam negara tetapi juga ke peringkat antarabangsa.
Menurutnya, beberapa usahawan secara kecil-kecilan di negara ini telah membuktikan mereka mampu mencapai keuntungan berlipat ganda setelah memasarkan produk mereka dengan cara ini.
“Walaupun usahawan itu berada di kawasan perkampungan atau pendalaman sekali pun, mereka masih boleh menggunakan perkhidmatan jalur lebar di PI1M di kawasan berdekatan.
“Ini antara usaha kerajaan untuk membantu golongan usahawan yang sudah mempunyai produk yang digemari ramai tetapi hanya dikenali di kawasan mereka sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Hari Bersama PI1M dan Perasmian PI1M Kampung Sri Hamzah di sini.
Shahaniza berkata, golongan wanita terutamanya para ibu yang berkerjaya sebagai suri rumah perlu tahu menggunakan perkhidmatan jalur lebar ini tetapi harus berhati-hati agar tidak mudah tertipu.
“Dalam urusan perniagaan secara atas talian juga ada risikonya, selain kita kena jujur terhadap pelanggan, kita juga kena berwaspada dengan pengedar atau pembekal mahupun pelanggan sendiri supaya tidak ditipu juga.
“Tetapi saya percaya, menerusi medium ini, perniagaan mereka dapat diperkembangkan dengan lebih baik,” kata beliau.
Pada masa sama, beliau menasihatkan semua wanita agar tidak tertipu dengan cinta internet yang akhirnya akan membinasakan diri sendiri.
Menurutnya, pengguna jalur lebar perlu klik dengan bijak, dan tidak terjerumus dengan bahana internet sehingga menggadai harta kepada orang yang tidak dikenali.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor