Pages

Thursday, October 1, 2015

[PEKAN] PENDUDUK SUDAH MATI AKAL


Penduduk sudah mati akal


Kehadiran sekumpulan lembu yang dilepaskan pemiliknya tanpa kawalan sejak sekian lama mengundang rasa rimas dan tidak puas hati penduduk di Kampung Geylang yang terpaksa berhadapan masalah haiwan berkenaan.

Kumpulan lembu tersebut didakwa sering memasuki kawasan laman rumah dan menyebabkan tanaman penduduk rosak sekali gus terpaksa menanggung kerugian dan menghadapi persekitaran yang busuk bau najis. 

Seorang penduduk di Lorong Geylang 3, Azmir Hashim, 48, berkata, kehadiran haiwan berkenaan di persekitaran rumah menyebabkan mereka terpaksa mengawal keadaan kerana bimbang pokok-pokok yang baru ditanam musnah dimakan. 

“Jika kami tak beri perhatian, lembu-lembu ni akan masuk ke dalam kawasan rumah dan meragut tanaman di sekitar rumah hampir setiap hari. Dahlah macam tu, jalan-jalan di sekitar kawasan rumah penduduk di sini pun busuk dicemari najis,” katanya.

Seorang penduduk, Kamarulzaman Mohd Tahir, 57, memberitahu, tindakan menghalau lembu yang berkeliaran di halaman rumah juga boleh menimbulkan pergaduhan.

“Bila dihalau dari rumah kita... ia beralih ke rumah jiran pula. Macam tulah seterusnya sampaikan bimbang situasi salah faham tercetus dan kami sesama penduduk pula yang berbalah,” katanya.

Menurutnya, mereka tidak tahu pemilik sebenar lembu-lembu berkenaan dan penduduk sudah mati akal ke mana hendak mengadu bagi menyelesaikan masalah ini.

Sehubungan itu, mengakui hal tersebut, Yang Dipertua Majlis Daerah Pekan (MDP) Datuk Ahmad Salhi Abdul Latiff Fazli berkata, pihak MDP turut beri perhatian akan masalah tersebut walaupun bukan bidang kuasa untuk menangkap ternakan berkenaan.

“Masalah yang tidak pernah selesai ini sebenarnya hanya dapat diselesaikan melalui sikap penternak sendiri yang perlu peka dan mengawal haiwan ternakan mereka.

“Penekanan terhadap masalah ini juga perlu menjadi antara agenda untuk disebarkan dalam mesyuarat JKKK atau majlis komuniti bagi mengelak risiko lebih serius kepada penduduk selain elak kejadian kemalangan berulang.

“Keadaan ini nampaknya masih tetap sama walaupun saya telah memaklumkan masalah ini kepada semua pemilik ternakan agar tidak membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran di atas jalan kerana mengundang risiko kemalangan khususnya pada waktu malam,” katanya sambil memberitahu MDP masih membuat pemantauan dan menaikkan papan tanda berkaitan aduan mengenai ternakan berkeliaran di kawasan aduan termasuk sepanjang jalan seperti yang dapat dilihat orang ramai.

“Pihak jabatan haiwan turut datang menangkap haiwan-haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran. Namun, ia masih tidak mendapat perhatian sewajarnya, malah mereka seolah-olah tidak peduli.

“Perkara ini perlu diambil serius dan penduduk khususnya di kawasan kampung yang juga penternak haiwan harus lebih bertanggungjawab dan berkerjasama menjaga keselamatan dan kebersihan bersama,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor