Pages

Thursday, October 1, 2015

GADIS 17 TAHUN HILANG TANPA PETUNJUK


Gadis 17 tahun hilang tanpa petunjuk


Sungai Petani – Seorang ibu bimbang keselamatan anak gadisnya, Maisarah Zainol, 17, yang hilang sejak 22 September lalu.

Maizun Abd Hamid, 53, berkata, kali terakhir dia melihat anaknya pada hari kejadian sebelum dihantar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kuala Muda, kira-kira jam 7.30 pagi.

"Masa itu, abang dia (Zamri, 25) yang hantar ke sekolah sebab ada kelas tambahan. Lepas itu, masa nak ambil balik kira-kira jam 10 pagi, dia dah tak ada di sekolah.

"Puas juga saya tanya kawan-kawan dia dan tunggu di sekolah sampai jam 12 tengah hari tapi Maisarah tak muncul-muncul juga," katanya.

Menurutnya, semalam sudah masuk hari kesembilan kehilangan Maisarah dan itu sesuatu yang membimbangkan.

"Maisarah tak pernah keluar rumah dalam tempoh lama. Tambah lagi dia seorang yang pendiam.

"Setakat ini tiada sebarang petunjuk mengenai kehilangannya dan setiap hari saya berdoa supaya dia ditemui semula, selain mencarinya di merata tempat," katanya.

Sementara itu, kakak Maisarah, Nur Fazlina, 27, berkata, adiknya memakai baju T merah, berseluar panjang dan memakai tudung warna kelabu.

Menurutnya, gerakan mencari anak ke 10 daripada 11 beradik itu dilakukan ahli keluarga selain meminta bantuan daripada kenalan di sekitar kawasan Sungai Petani, Butterworth dan Seberang Perai.

"Setiap kali dapat maklumat kami terus bergegas ke lokasi dimaksudkan, tapi hampa. Malah, sebarang petunjuk pun kami tak jumpa.

"Kawan-kawan sekolah juga beritahu mereka tidak nampak Maisarah sejak hari pertama kehilangannya," katanya.

Dalam pada itu, Nur Fazlina merayu orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Maisarah segera menghubungi ibunya menerusi 017-4808517.

“Saya juga merayu sekiranya Maisarah ada terbaca siaran ini supaya segera pulang sebab keluarga terlalu rindukan dia.

"Ibu tak dapat tidur dan tak lalu makan sejak adik hilang," katanya.

Difahamkan, laporan berhubung kehilangan Maisarah dibuat di Balai Polis Kota Kuala Muda, 24 September lalu.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor